Bot lumba elektrik pertama dunia secara rasmi cecah air

RaceBird dilancarkan buat pertama kali di Sungai Po, Itali pada 11 April 2022 selepas melengkapkan beberapa siri ujian dan prestasi pemanduannya. (FOTO Arab News)
- Advertisement -

RIYADH: Electric Marine Racing Co., atau E1 Series, secara rasmi telah melancarkan bot lumba elektrik inovatif pertama di dunia yang diumumkan projeknya pada tahun lepas dengan kerjasama Saudi Public Investment Fund (PIF).

Bot dikenali sebagai RaceBird itu dilancarkan buat pertama kali di Sungai Po di utara Itali pada Isnin (11 April), selepas melengkapkan beberapa siri ujian dan prestasi pemanduannya.

- Advertisement -

Bot lumba perintis itu dikuasakan oleh bateri Kreisel 150 kilowatt dan motor sangkut Mercury Racing, dengan bot itu terangkat ke atas kerajangnya, membolehkan tork dan pecutan pantas dilakukan.

“Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan terus menjalankan ujian lanjut dan mengumpulkan data yang diperlukan. 

“Saya benar-benar tidak sabar untuk menunjukkannya di khalayak ramai buat kali pertama, yang akan kami umumkan tidak lama lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif E1 Series, Rodi Basso.

“Ujian tersebut  menandakan permulaan  lembaran baharu dalam industri elektrifikasi marin, yang memberi tumpuan kepada mempercepatkan teknologi masa depan untuk kenderaan di perairan,” tambahnya.

RaceBird ialah produk perkongsian Saudi PIF dan E1 Series yang direkacipta untuk pertandingan perlumbaan bot elektrik pertama di dunia.

Perkongsian PIF dengan E1 Series hadir sebagai sebahagian daripada usaha ntuk membolehkan inovasi bot canggih berkenaan berkembang di peringkat global, membuka ufuk baharu untuk industri masa depan dan membina perkongsian ekonomi strategik. – Agensi

- Advertisement -