Definisi tepat lompat parti elak dicabar di mahkamah

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti memerlukan definisi yang tepat, perlaksanaan yang terang dan penjelasan yang konkrit bagi mengelakkan kekeliruan penyalahgunaan kuasa.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata perkara ini sangat penting bagi mengelakkan pihak yang berkepentingan mencabar di mahkamah dan akan menimbulkan polemik serta permasalahan yang lebih rumit sehingga menjejaskan keharmonian dan kestabilan politik negara.

- Advertisement -

“Dalam langkah kerajaan menangani isu lompat parti ini, langkah ini harus dicegah dari diambil oleh ahli-ahli politik dari mana-mana parti sekali pun.

“Saya bersetuju terhadap langkah yang akan diambil oleh kerajaan dengan mewujudkan akta khusus atau Akta Antilompat Parti.

“Namun demikian, undang-undang ini memerlukan definisi yang tepat, perlaksanaan yang terang dan penjelasan yang konkrit bagi mengelakkan kekeliruan penyalahgunaan kuasa dan keputusan berat sebelah sehingga menyebabkan ketempangan yang lebih parah dalam pengamalan demokrasi di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memerlukan ketulusan dalam mentadbir dasar dan amalan politik yang murni, dan memetik kata-kata imam Al-Ghazali yang bermaksud, agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya.

“Apa yang tidak ada asasnya nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang,” jelasnya.

“Dalam situasi apabila parti yang diwakili ahli politik yang telah menyimpang dari prinsip asas perjuangan termasuklah bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa, adakah wujud ruang bagi Ahli Parlimen tersebut yang setia dengan prinsip dan integriti untuk keluar daripada parti itu, dan seterusnya menyertai parti lain yang lebih telus untuk mentadbir negara ini,” katanya.

Begitu juga, katanya parti-parti yang membentuk satu gabungan dan mengambil keputusan untuk menarik diri dari meneruskan gabungan, perkara ini perlu dipertimbangkan jika melibatkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat. – HARAKAHDAILY 11/4/22

- Advertisement -