Tuntut pengadilan telus buat Bella

- Advertisement -

SAYA mengikuti prosiding kes berkaitan dengan adik Bella dengan penuh minat. Kes tersebut amat mendukacitakan kerana mangsa merupakan kanak-kanak istimewa yang wajar dilindungi bukannya didera dan dianiaya.Berdasarkan kenyataan saksi ke-5 baru-baru ini, mangsa telah didera dengan sangat teruk dan tidak berperikemanusiaan. Saksi tersebut menjelaskan bahawa

mangsa bukan sahaja diikat kaki dan tangan, dicili bahkan mangsa juga telah disimbah dengan air panas sehingga melecur di beberapa bahagian tubuh badannya. Malah mangsa turut dipaksa memakan najisnya sendiri. 

- Advertisement -

Meskipun perbicaraan kes yang sedang berlangsung ini kelihatan sangat berat dan sangat penting, ketiadaan tumpuan daripada pihak media sangatlah ironi. Walhal, tindakan yang tidak berperikemanusiaan seperti itu jelas sekali bertentangan dengan undang-undang di Malaysia bahkan ianya sama sekali menafikan hak kesaksamaan yang dimilikinya.

Oleh itu, saya menuntut hak yang seadilnya ke atas mangsa berdasarkan undang-undang yang bukan sahaja bagi melindungi kanak-kanak melalui Akta Kanak-kanak 2001, bahkan undang-undang khusus seperti Akta Orang Kurang Upaya 2008 juga telah sekian lama wujud bagi melindungi golongan tersebut. 

Selain itu, masyarakat seharusnya bersama-sama melindungi golongan istimewa ini selari dengan Dasar Orang Kurang Upaya yang telah digariskan bertujuan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU.

Tambahan pula, agama Islam juga meletakkan kemuliaan yang tinggi terhadap golongan ini untuk dilayani dengan sebaik mungkin sehinggakan mereka disebut dalam ayat yang khusus di dalam Al-Quran sepertimana firman Allah S.W.T (surah an-Nur: 16);

لَّيۡسَ عَلَى ٱلۡأَعۡمَىٰ حَرَجٞ وَلَا عَلَى ٱلۡأَعۡرَجِ حَرَجٞ وَلَا عَلَى ٱلۡمَرِيضِ حَرَجٞۗ

“Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya).”

Justeru, saya sekali menegaskan agar proses pendakwaan dalam kes ini dapat berjalan dengan lancar dan telus tanpa mengecualikan mana-mana pihak bagi memastikan semua yang terlibat dapat diadili dengan sebaiknya khususnya mangsa yang telah dianiaya. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 10/4/2022

- Advertisement -