
SYDNEY: Hujan lebat yang melanda pantai timur Australia menyebabkan jalan raya bandar ini ditenggelami banjir kilat dan memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk untuk sedia berpindah jika keadaan berterusan sepanjang hari.
Mengikut laporan media, seorang lelaki dihanyutkan air banjir di barat laut bandar ini, diselamatkan oleh kru kecemasan. Rakaman di media sosial pula menunjukkan kenderaan bergelut untuk menyeberangi jalan berair, pokok tumbang dan serpihan terapung di sungai.
Penghuni sebuah rumah jagaan orang tua dipindahkan ketika kru kecemasan menggesa lima juta penduduk bandar ini mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dan bersiap sedia untuk berpindah.
Limpahan dari lubang bahan api di tapak milik penapis minyak Ampol di selatan Sydney menyebabkan minyak bercampur air banjir, tetapi kru kecemasan berkata tumpahan telah dibendung dan tiada risiko bahaya di kawasan itu.
Sejak Januari hingga kini, Sydney menerima 1,226.8 milimeter (mm) hujan, melebihi purata hujan tahunan 1,213 mm. Kawasan tumpuan pelancong Bondi merekodkan kira-kira 170 mm dalam tempoh 24 jam hingga 9 pagi hari ini. Biro Cuaca Australia menyatakan bahawa dalam tempoh 24 jam akan datang, Sydney boleh mendapat hujan sehingga 180 mm.
Musim panas pantai timur Australia didominasi fenomena cuaca La Nina dengan peningkatan hujan untuk tahun kedua berturut-turut. Hujan lebat juga menyebabkan air empangan Warragamba yang membekalkan air ke Sydney dijangka melimpah esok.
Keadaan cuaca tidak menentu dalam tempoh enam minggu lalu yang melanda timur Australia menyebabkan beberapa bahagian utara New South Wales dan tenggara Queensland, mencatat rekod jumlah hujan paling tinggi dengan Mac menjadi bulan paling lembab di Sydney.
Perubahan iklim dipercayai menjadi faktor utama menyumbang kepada cuaca buruk yang menimbulkan persoalan berhubung sejauh manakah Australia bersedia.
Beberapa bandar di utara New South Wales masih bergelut untuk membersihkan pelbagai jenis sisa selepas dua banjir besar yang memusnahkan pada Mac lalu, manakala kejadian cuaca terkini menimbulkan masalah di pantai tengah dan selatan negeri itu. – REUTERS




















