
KUALA LUMPUR: Berpuasa semata-mata tidak cukup untuk menghalang seseorang daripada melakukan maksiat di atas muka bumi, termasuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Penceramah bebas, Ustaz Muhammad Najhan Abdul Halim berkata, Islam perlu diambil secara holistik dan menyeluruh, bukan secara simplistik dan separuh atau sebahagian.
Menurutnya, tanggapan bahawa hanya dengan berpuasa dan solat boleh menahan individu daripada melakukan maksiat lain adalah tidak benar.
“Ibadah puasa itu turut diamalkan oleh orang yang solat dan tidak solat, oleh individu yang pergi ke masjid mahupun yang tidak pergi ke masjid, merangkumi orang yang baik, dan jahat; yang terbabit dengan gejala rasuah mahupun yang tidak terlibat dengan rasuah. Semua berpuasa, malah orang yang menentang Islam pun puasa.
“Maka, sebab itulah Nabi SAW mengingatkan tentang puasa, sebab ada orang hanya dapat lapar dan dahaga semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberi ceramah Tazkirah Zohor Ramadan berjudul, Perjalanan Membina Taqwa Sepanjang Ramadan di Harakah TV, di sini, semalam.
Menurut Ustaz Najhan lagi, hukuman kepada golongan perasuah tidak dinilai melalui berapa banyak ibadah yang dilakukan, tetapi hukumannya mestilah mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Menurutnya, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam mengekang jenayah itu, namun bukan bererti menolak kelebihan berpuasa itu sendiri.
“Islam ada kaedahnya, bukan kita tidak mengakui bahawa kelebihan puasa itu ada, tetapi dari sudut undang-undang perlu buat juga.
“Contoh seperti jenayah berzina, (undang-undang bagi kesalahan itu) tetap kena ada, bulan puasa kena ada juga.
“Apakah jika diminta semua rakyat Malaysia berpuasa, insya-Allah zina tiada? Kalau begitu, tidak perlu ada hukum hudud.
“Justeru, penyelesaiannya bukan puasa. Islam ini tidak boleh ambil sudut puasa sahaja selesai masalah, Islam ini tidak boleh ambil dari satu sudut sahaja, suruh orang solat lima waktu, kemudian selesai, tiada jenayah. Tidak (ia bukan begitu),” katanya lagi.
Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS, mengekang jenayah rasuah memerlukan kepada mekanisme, pencegahan, penguatkuasaan undang-undang, peraturan, suasana sekitar yang mempengaruhi seseorang individu, teladan daripada pemimpin dan banyak faktor lain.
Katanya, masalah tidak boleh hanya selesai melalui melakukan ibadah wajib semata-mata, namun masyarakat perlu diberi pengajaran yang holistik.
“Sebab itu hendak menjayakan sesuatu solusi tidak boleh diambil secara satu persatu. Kita ambil semua (secara holistik), masyarakat kita ini, tidak boleh faham (sesuatu benda itu) secara simplistik (ringkas).
“Mereka akan fikir ‘orang Islam tidak patut terlibat dengan rasuah sebab dah puasa’. Sebenarnya suasana yang membentuk pemikiran sebegitu. Walaupun puasa dan solat, tetapi kerana tidak mengambil penyelesaian Islam secara holistik, individu boleh terjebak dengan rasuah.
“Jadi, sebab itulah PAS berjuang untuk membawa solusi penyelesaian holistik. Tidak boleh hanya kepada sesuatu sahaja,” katanya lagi.
Tambah beliau, dalam usaha memperkenalkan penyelesaian holistik Islam dalam pentadbiran negara, tidak cukup jika hanya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sahaja yang menggalas tanggungjawab itu.
“Smua kementerian perlu mengambil peranan untuk menjayakan solusi dalam mencegah kemungkaran rasuah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6//4/2022




















