Semua data MySejahtera hak milik mutlak kerajaan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menegaskan bahawa semua data dan maklumat yang diperolehi menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera adalah hak milik penuh dan mutlak kerajaan.

Menurutnya, sebelum MySejahtera dilancarkan pada 20 April 2020, kerajaan yang diwakili oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) memeterai Perjanjian Ketakdedahan (NDA) dengan KPISOFT Sdn Bhd pada 1 April 2020, dengan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.

- Advertisement -

Katanya, antara terma utama yang terkandung dalam NDA, termasuk berhubung setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi penggunaan MySejahtera adalah hak milik penuh dan mutlak Kerajaan.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa segala data yang tersimpan dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara dan hanya digunakan untuk kawalan pandemik oleh KKM.

“Penggunaan dan pengurusan data MySejahtera tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan piawaian antarabangsa,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai isu MySejahtera di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, katanya Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sudah menjalankan pelbagai ujian bagi memastikan aplikasi itu selamat, termasuk pengujian penembusan dan kerentanan sebelum ia dilancarkan.

Khairy berkata, NACSA juga menjalankan audit keselamatan berkala setiap bulan dan ujian penembusan dari semasa ke semasa, selain menjalankan audit jejak kepada pangkalan data yang menyimpan data MySejahtera.

“Menerusi audit jejak itu, kerajaan dapat mengetahui jika terdapat mana-mana pihak yang mendaftar masuk ke dalam sistem pangkalan data dan menggunakan data itu untuk sebarang bentuk tujuan.

“NACSA melalui Cyber Coordination and Command Centre (NC4) memantau keselamatan secara berterusan ke atas aplikasi MySejahtera untuk mengesan sebarang pencerobohan,” katanya.

Menurutnya, syarikat pengendali MySejahtera juga menerima piawaian ISO270001 (ISMS), iaitu spesifikasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat, meliputi dasar dan pengurusan keselamatan maklumat, keselamatan fizikal dan persekitaran, keselamatan komunikasi dan keselamatan sumber manusia.

Sehubungan itu, katanya setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan serta terjamin keselamatan dan kerahsiaannya.

Beliau berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejahtera tanpa ragu-ragu kerana kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/22

- Advertisement -