
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Seseorang Ahli Parlimen yang telah memenangi mana-mana kerusi Parlimen, mengumumkan keluar dari parti dengan menyatakan bahawa beliau adalah Ahli Parlimen Bebas atau menyertai mana-mana parti politik lain, dikira sebagai melompat parti.
Keadaan di atas, iaitu `Ahli Parlimen keluar dari parti’ adalah antara tiga perkara utama dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Anti Lompat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata dua perkara utama lain dalam draf itu ialah `Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti’ dan `Ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti’.
Menurutnya, perkara `Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti’ ialah seseorang Ahli Parlimen yang telah memenangi kerusi Parlimen, tetapi dipecat oleh parti juga dikira sebagai melompat parti.
Katanya, ini bagi memastikan Ahli Parlimen patuh kepada Perlembagaan atau peraturan serta disiplin parti dengan parti yang memecat Ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi kerana pilihan raya perlu diadakan semula.
“Perkara ketiga, iaitu `Ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti’ ialah Ahli Parlimen Bebas yang memenangi pilihan raya jika menyertai parti lain dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat kerana pemilihannya adalah disebabkan beliau bertanding sebagai calon bebas. Rakyat mungkin telah menolak calon lain daripada parti yang disertai tersebut semasa pilihan raya diadakan.
“Sekiranya Ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari dari beliau dipecat dan akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Negara.
Dr Wan Junaidi berkata, jika diluluskan, Undang-Undang Lompat Parti akan berkuat kuasa secara prospektif dan bukan retrospektif.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk John Ambrose yang meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana tindakan serta perancangan yang telah dirangka oleh kerajaan dalam melaksanakan RUU Anti Lompat Parti bagi mengelakkan berlaku ketidakstabilan politik dalam negara.
Dalam jawapan terperinci, katanya kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021 telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang antaranya merangkumi persetujuan untuk membentang dan meluluskan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen mengikut prosedur ditetapkan Perlembagaan Persekutuan seperti dinyatakan pada perkara 2.1, Transformasi-transformasi di dalam Lampiran MoU itu.
Menurutnya, kerangka Draf Pentadbiran bagi RUU dibentuk berdasarkan penelitian serta kajian awal merujuk kepada model perundangan negara seperti India, Singapura, New Zealand dan United Kingdom, serta Kaji Selidik Awam berkaitan Peruntukan Anti Lompat Parti (Awam dan Ahli Parlimen) yang dilaksanakan mulai 23 November 2021 hingga 12 Disember 2021.
“Undang-Undang yang akan digubal ini merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar. Oleh itu, penggubalan RUU ini perlu dilaksanakan dengan teliti supaya dapat diguna pakai untuk tempoh yang lama dan tidak mudah untuk dipinda,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan antara kerajaan dan wakil pembangkang mula dilaksanakan pada 25 dan 30 Januari lalu melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal, Transformasi dan Kestabilan Politik yang secara prinsip bersetuju dengan Draf Pentadbiran yang disediakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara.
Katanya, draf ini seterusnya dibentangkan dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada 10 Februari lalu.
“Jawatankuasa ini secara umum berpandangan bahawa Draf Pentadbiran ini tidak mempunyai apa-apa kesalahan kerana dirangka dengan teliti dan disertakan justifikasi yang kukuh bagi setiap tafsiran, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 30/3/22




















