Adun BN puji Kelantan serius atasi bekalan air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas kesungguhan bagi mengatasi masalah bekalan air di Gua Musang.

Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berkata, sebelum ini ada pihak menganggap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) gagal mengatasi masalah bekalan air terutamanya di Gua Musang.

- Advertisement -

Katanya, berdasar kepada penjelasan kerajaan negeri pada penggulungan perbahasan hari ini, rakyat mendapat maklumat yang lebih jelas.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang berusaha mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di Gua Musang sekarang,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, kerajaan negeri merancang membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Pulau Setelu Gua Musang.

Selain itu menaik taraf LRA di Panggung Lalat yang mampu mengeluarkan 2 juta liter padu sehari.

“Kerajaan negeri juga akan memasang paip agihan air yang melibatkan kos kira-kira RM6.4 juta,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan kerap berlaku terputus bekalan air di kawasan tersebut sejak Januari lepas.

Masalah gangguan bekalan air dilaporkan turut melibatkan premis kerajaan termasuk hospital dan pejabat kesihatan daerah.

Media melaporkan gangguan bekalan air yang berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya kerosakan boost pump di Bandar Utama Gua Musang Fasa 2 yang telah berlaku sejak awal tahun 2021. – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -