
DUBAI: Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan mengesahkan sokongan negara itu terhadap perjuangan Palestin pada Sidang Kemuncak Negev, yang diadakan di Israel pada Ahad (27 Mac).
Berucap pada majlis itu, Sheikh Abdullah berkata sidang kemuncak itu membolehkan negara peserta bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Palestin.
Dalam satu kenyataan, Sheikh Abdullah menjelaskan bahawa UAE komited untuk menyokong rakyat Palestin dan hak sah mereka, terutama dalam menubuhkan sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Beliau juga menambah bahawa UAE akan terus memberikan sokongan kepada rakyat Palestin melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan. – Arab News




















