
ABUJA: Sekumpulan penyamun disyaki telah menyerang sebuah kereta api penumpang yang menuju ke bandar Kaduna di utara Nigeria dari Abuja, ibu negara Nigeria selepas mereka memerangkap kereta api berkenaan.
Perkara berkenaan yang disahkan oleh kerajaan negeri Kaduna, manakala seorang penumpang kereta api berkenaan, Anas Iro Danmusa, berjaya menyiarkan kejadian pada Isnin (28 Mac) itu di Facebook mendedahkan bahawa penyamun berkenaan telah menanam bahan letupan yang menghentikan kereta api berkenaan.
Danmusa berkata, kumpulan penyamun itu cuba masuk ke dalam gerabak kereta api yang ketika itu dipenuhi kira-kira 1,000 penumpang, dengan tembakan telah dilepaskan di luar kereta api berkenaan.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, dan tiada kemalangan jiwa telah disahkan.
“Pihak tentera Nigeria telah menyelamatkan kereta api yang menuju Kaduna dari Abuja yang diperangkap oleh kumpulan penyamun,” kata jurucakap kerajaan negeri Kaduna.
“Usaha sedang dijalankan untuk menghantar penumpang dari lokasi dan ada beberapa penumpang lain yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan segera,” kata juucakap kerajaan negeri Kaduna.
Seorang pegawai Nigerian Railways Corp (NRC) berkata, kereta api itu malang itu dihentikan kira-kira 25 kilometer dari Kaduna apabila serangan itu berlaku, sambil beliau menambah bahawa seorang saudara keluarganya turut terperangkap dalam kereta api berkenaan.
Kejadian terbaharu itu adalah serangan kereta api kedua sejak Oktober tahun lalu di Nigeria, yang menghadapi pemberontakan ketenteraan dan penyamun bersenjata yang telah menculik ratusan pelajar, pengembara dan penduduk kampung untuk mendapatkan wang tebusan.
Sesetengah penduduk Nigeria memilih untuk melakukan perjalanan dengan kereta api selepas beberapa penculikan oleh penyamun bersenjata berleluasa di lebuh-lebuh raya Nigeria, terutamanya di barat laut negara itu, namun mereka juga belum tentu selamat apabila memilih untuk menggunakan kereta api. – Reuters




















