
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM349.9 juta diperlukan untuk pemerkasaan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) bagi tempoh empat tahun bermula tahun ini hingga 2025.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata kos itu adalah untuk konsultansi, menaik taraf makmal kepada fasiliti Amalan Makmal Baik (GLP), dua makmal bertaraf Amalan Pengeluaran Baik (GMP), satu fasiliti Biokeselamatan Haiwan Kelas III (ABSL class III) dan perolehan peralatan penting.
Katanya, kos itu juga untuk geran penyelidikan yang menyokong program pembangunan dan pengukuhan penghasilan vaksin negara serta sumber manusia dan pembangunan kepakaran tempatan.
“Keperluan peruntukan ini juga untuk mengatasi jurang yang telah dikenal pasti dalam penghasilan vaksin sendiri, iaitu pertama ketiadaan makmal untuk melaksanakan kajian praklinikal dan klinikal yang menepati piawaian GLP dan GMP.
“Begitu juga dengan kesukaran untuk mendapatkan pakar klinikal antaranya mengawal selia kajian praklinikal dan kajian klinikal fasa 1 dalam manusia (FIH),” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi MOSTI di persidangan Dewan Negara, hari ini.
Ahmad Amzad memberi jawapan mengenai kos berkaitan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) yang tidak sempat dijawab kepada Senator Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin.
Selain Khairil Nizam, empat Senator lain turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja yang menyentuh pelbagai isu di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Mengulas mengenai kerjasama kerajaan di kalangan negara anggota ASEAN dalam pembangunan vaksin serta kit ujian Covid-19, Ahmad Amzad berkata ketika ini terdapat beberapa kerjasama erat bersama pemain industri serta penyelidik serantau berkaitan pembangunan dan pemindahan teknologi vaksin berasaskan mRNA.
Katanya, ini dilakukan melalui perbincangan awal kerjasama ujian klinikal di Malaysia bersama Universiti Chulanglongkorn di Thailand dan kerjasama MGVI bersama Institut Bioinformatik (BII-A STAR) di Singapura dalam memperkukuhkan usaha meningkatkan kadar penjujukan dan analisis genom SARS-CoV-2 bagi rantau ASEAN di bawah Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (COSTI) bermula Ogos 2021 sehingga Julai 2024.
“Selain itu, kerajaan sentiasa mengadakan kerjasama erat bersama pemain industri serta penyelidik tempatan dalam pembangunan dan pemindahan teknologi vaksin berasaskan mRNA.
“Antaranya ialah perbincangan dengan pihak industri seperti Pharmaniaga, Sol Bio Sdn Bhd dan Malaysian Vaccines and Pharmaceutical Sdn Bhd (MVP) dan Bengkel Pembangunan Vaksin Halal pada 16 Februari lalu anjuran MGVI yang dihadiri oleh Halal Development Corporation, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/22




















