
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Perincian mengenai model serta kaedah pelaksanaan paras gaji minimum kepada RM1,500 atau Perintah Gaji Minimum 2022 akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata kaedah pelaksanaannya akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk dalam menentukan jenis perusahaan, pekerjaan dan penggajian yang boleh dilaksanakan secara berperingkat.
“Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah merancang strategi dan pelan tindakan bagi memastikan agenda pelaksanaan gaji minimum dapat membantu rakyat untuk meningkatkan pendapatan serta menampung keperluan asas.
“Pada masa ini, Kementerian Sumber Manusia sedang memperincikan model serta kaedah pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022,” katanya semasa menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, hari ini.
Memahami kegusaran golongan peniaga kecil dan sederhana dengan kenaikan paras gaji minimum, kata Awang, KSM akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Katanya, perbincangan dalam masa terdekat itu akan dibuat sebelum mencapai suatu ketetapan dalam pelaksanaan gaji minimum baharu.
Selain itu kata Awang, bagi memastikan kadar gaji minimum dipatuhi pihak majikan termasuk masyarakat di luar bandar, kerajaan akan menguatkuasakan Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara [Akta 732].
Katanya, seksyen ini menggariskan, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya, jika disabitkan bersalah, boleh denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.
“Dalam hal ini, Akta 732 telah memberikan kuasa kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak untuk menjalankan penguatkuasaan dan penyiasatan berhubung pelaksanaan gaji minimum.
“Aktiviti penguatkuasaan ini bukan sahaja dijalankan kepada pihak industri, malahan ia merangkumi semua majikan swasta di Malaysia termasuk syarikat berkaitan kerajaan. Sehubungan itu, semua majikan swasta dikehendaki mematuhi Perintah Gaji Minimum baharu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2022




















