Doktor muda kontrak terima tawaran swasta dan luar negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui ada doktor muda kontrak yang berkhidmat di fasiliti kerajaan menerima tawaran lebih baik pihak swasta dan luar negara.

Timbalan Menterinya, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata tawaran dikemukakan pihak berkenaan membuatkan kerajaan tidak mampu menandinginya.

- Advertisement -

Namun, katanya kerajaan tidak boleh menghalang mana-mana kakitangan KKM seperti doktor untuk menerima tawaran berkenaan.

“Kerajaan memang prihatin mengenai masalah dihadapi doktor muda kita. Bagaimanapun, kerajaan mempunyai kekangan terutama dalam masalah kewangan dan tidak dapat menandingi tawaran yang mungkin disediakan pihak swasta dan luar negara,” katanya menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal Jerai, katanya keputusan menyambung perkhidmatan pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib dua tahun untuk dua tahun lagi hanya langkah penyelesaian sementara.

Sabri meminta Menteri Kesihatan menyatakan pendirian kerajaan terhadap kontrak doktor dan jururawat untuk memanjangkan kontrak tahunan dari dua tahun ke empat tahun dengan peningkatan kes Covid-19 yang dihadapi oleh negara.

Dr Noor Azmi berkata, penyambungan membabitkan lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan membolehkan pegawai berkenaan membuat persediaan menyambung pengajian kepakaran.

Namun, katanya penyambungan kontrak itu tidak menyelesaikan sepenuhnya isu perjawatan tetap yang terhad dan tidak mencukupi berbanding keperluan sebenar pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.

“Dalam jangka masa panjang, kestabilan sistem kesihatan berkemungkinan terjejas dan tidak dapat mewujudkan jaminan pekerjaan di KKM,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Azmi berkata, kerajaan pada 19 Januari lalu bersetuju mewujudkan 4,186 jawatan tetap tambahan di KKM pada tahun ini bagi tujuan melantik seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Katanya, KKM juga mewujudkan sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025 dan mewujudkan 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian setiap tahun mulai tahun 2023.

Susulan itu, katanya pada 1 Mac yang lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengeluarkan iklan bagi pengisian perjawatan tetap bagi tahun ini, merangkumi 3,586 pegawai perubatan, 460 pegawai pergigian dan pegawai farmasi. – HARAKAHDAILY 23/3/22

- Advertisement -