
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak awal penubuhannya pada tahun 1997 sehingga kini adalah kekal terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata laporan media, baru-baru ini bahawa JAKIM diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja sebagai kurang tepat.
Menurutnya, kekeliruan yang dilaporkan oleh pihak media telah diperbetulkan melalui kenyataan rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 12 Mac lalu.
Katanya, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-258 membuat ketetapan bahawa seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) selama tempoh dua tahun secara bergilir-gilir, manakala Perdana Menteri dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MKI.
“Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berkenan memilih Sultan Selangor sebagai Pengerusi MKI pertama dalam kalangan Raja-Raja bagi tempoh dua tahun,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Latiff meminta Perdana Menteri menyatakan adakah benar JAKIM kini diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja seperti yang dilaporkan dalam media.
Idris berkata, Persidangan Majlis Raja-Raja Ke-81 pada 17 Oktober 1968, telah berkenan menubuhkan sebuah badan bagi menyelaras pentadbiran agama Islam antara negeri-negeri yang penubuhannya dirasmikan pada 1 Julai 1969 dan kini dikenali sebagai MKI.
Selari dengan penubuhannya pada waktu itu, katanya sebuah unit di bawah JPM telah diwujudkan bagi melaksanakan tugas keurussetiaan MKI berpandukan Peraturan MKI yang telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja.
“Pada 1 Februari 1974, unit tersebut yang menjadi urus setia MKI telah dinaik taraf menjadi Bahagian Ugama JPM dan telah telah melalui beberapa fasa transformasi hingga akhirnya dinaik taraf menjadi sebuah jabatan berkuat kuasa pada 1 Januari 1997 dengan nama JAKIM.
“Fungsi utama JAKIM di bawah JPM adalah untuk memperkasa penggubalan dan penyeragaman perundangan Islam di Malaysia, mengukuhkan penyelarasan pentadbiran Islam di seluruh negara dan memantapkan penyelarasan dan pembangunan pendidikan Islam di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.
Katanya, semua fungsi ini adalah sejajar dengan peranan JAKIM sebagai Setiausaha dan urus setia MKI yang terletak di bawah Majlis Raja-Raja.
Menjawab soalan tambahan Kuala Krai, Idris berkata, pindaan kepada Peraturan MKI diharapkan akan memantapkan kedudukan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negeri serta kedudukan JAKIM sebagai agensi penyelaras hal ehwal Islam peringkat Persekutuan tanpa mengganggu gugat kuasa sedia ada negeri dalam hal ehwal Islam.
Pada masa sama, katanya pemerkasaan perundangan Islam dan Mahkamah Syariah, termasuk pindaan kepada Rang Undang-Undang 355, hanya boleh berlaku dengan kerjasama erat dalam pelbagai aspek antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melalui forum MKI dan wadah lain dalam bentuk kolaborasi, rundingan dan bantuan.
Abdul Latiff bertanya sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai isu yang menyentuh bidang kuasa Mahkamah Syariah, seperti kes berkaitan kuasa semakan kehakiman Mahkamah Syariah yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, baru-baru ini.
Beliau meminta Perdana Menteri menyatakan apakah signifikannya Pindaan Peraturan MKI terhadap pemerkasaan perundangan Islam serta kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia.
Idris berkata, rentetan beberapa isu berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah, baru-baru ini, satu Persidangan Meja Bulat Isu-isu Semasa Perundangan Syariah diadakan pada 2 Mac lalu melibatkan tokoh-tokoh perundangan syariah dan pihak-pihak berkepentingan.
“Beberapa resolusi jangka pendek dan jangka panjang telah dipersetujui, termasuk penubuhan satu sekretariat tetap yang bertanggungjawab merangka dasar dan hala tuju perkembangan sistem perundangan syariah di Malaysia yang akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
“Saranan juga akan dikemukakan kepada negeri-negeri untuk memasukkan peruntukan berkaitan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri seperti yang dilakukan oleh Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2022




















