Hui Yee terperangkap sendirian di rumah ketika tanah runtuh

Kelihatan 10 buah kenderaan yang musnah dalam tragedi tanah runtuh di kaki cerun Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, Selangor pada 16 Mac 2022. (FOTO: YUSMAN AWANG/HarakahDaily)
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG dan SYAHIRAH SALLEH

AMPANG JAYA: Seorang penduduk  yang  menetap di Taman Bukit Permai 2  di sini yang merupakan lokasi kejadian tanah runtuh pada 10 Mac lalu, mengimbas kembali pengalaman dirinya yang terperangkap berseorangan di dalam rumahnya ketika itu.

Menurut bekas pekerja swasta, Ngui Hui Yee, 30, sejurus sebelum tanah runtuh di kawasan berdekatan rumahnya di No.24, Jalan Teratai 1/2 J, selang sembilan unit daripada salah sebuah rumah jirannya yang tertimbus sepenuhnya, dia telah mengalami detik cemas apabila gagal membuka pintu pagar rumahnya.

- Advertisement -

Menurut Hui Yee, semasa kejadian, ibunya keluar membeli makanan di  kawasan berhampiran rumahnya, sementara ahli keluarganya juga tiada di rumah ketika tu menyebabkan dia tinggal seorang diri.

“Namun, secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus dan saya mendengar jeritan orang ramai dari luar rumah saya,” tuturnya.

Setelah menyedari kekecohan yang berlaku, Hui Yee cuba untuk bergegas mencari  kunci pintu pagar kediamannya, malangnya dia mendapati kunci pagar utama rumahnya itu rosak.

“Disebabkan rumah tiba-tiba tiada elektrik, saya pun turun ke tingkat bawah, dan terdengar ada orang menjerit, kemudian saya keluar dan mendapati orang ramai  sedang berkumpul melihat ke arah cerun berhampiran rumah saya itu.

Ketika kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Hui Yee terperangkap bersendirian di dalam kediamannya. (FOTO: SYAHIRAH SALLEH/HarakahDaily)

“Saya terus mencari kunci dan keluar lalu ternampak tanah sedang runtuh di cerun tersebut, tetapi kunci pagar depan rumah saya sudah rosak, jadi pintu pagar  tak dapat dibuka dan saya memang dah panik ketika itu. 

“Bukan itu sahaja, saya juga tiada kunci pintu belakang rumah, dan biarpun jiran cuba untuk membantu membukanya tetapi gagal,” kongsinya.

Justeru kata Hui Yee, setelah percubaannya untuk keluar melarikan diri dari rumahnya itu gagal, dia hanya bersabar menunggu kepulangan ibunya yang hanya mengambil masa lima hingga ke sepuluh minit.

Sehingga 16 Mac 2022, penghuni di beberapa rumah bersebelahan dengan empat buah kediaman yang tertimbus sepenuhnya dalam kejadian tanah runtuh di jakan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, Selangor belum kembali menetap sepenuhnya di rumah masing-masing. (FOTO: YUSMAN AWANG/HarakahDaily)

Walaupun diselubungi rasa takut, Hui Yee tidak mengambil tindakan drastik memanjat pintu pagar atau sebagainya, dan dia masih dapat menenangkan diri dengan menganggap jarak rumah dan lokasi kejadian agak jauh.

Menurutnya lagi, sehingga kini dia masih berasa takut jika kejadian sama berulang terutamanya apabila waktu hujan dan ketika malam hari menjelma.

Hui Yee dan keluarga kini menetap di rumah saudara yang berdekatan lokasi rumahnya itu dan pulang menjenguk kediaman mereka pada siang hari dalam 3 hingga 4 jam.

“Kami mendapat kebenaran daripada anggota keselamatan bertugas untuk pulang ke rumah, namun sehingga ke hari ini (Rabu, 16 Mac)  bekalan air di kawasan rumah saya masih terputus,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -