MBOT usaha tambah nilai dan kemahiran teknologis

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) memastikan kebajikan profesyen teknologis di negara ini mendapat perhatian kerajaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata MBOT juga menyokong peruntukan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) dengan sentiasa memantau isu-isu kebajikan bukan sahaja jurutera, malah teknologis, saintis, penyelidik dan juruteknik.

- Advertisement -

Menurutnya, MBOT sedar bahawa kebajikan golongan profesional bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau badan profesional, tetapi harus meliputi pelbagai pihak lain seperti industri, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), dewan perniagaan dan persatuan industri.

“Berbanding jurutera di industri yang lebih terlibat dalam aspek reka bentuk, MBOT mengiktiraf teknologis dan juruteknik, iaitu individu yang menjalankan salah satu daripada profil teknologi, iaitu pembangunan, pembuatan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan.

“Setakat hari ini, MBOT mendaftarkan seramai 15,000 teknologis dan juruteknik profesional,” katanya ketika penggulungan Titah Diraja bagi MOSTI di Dewan Rakyat, hari ini.

Lanjutan itu, Ahmad Amzad berkata, MBOT sentiasa menyokong dasar kerajaan berkaitan pembangunan bakat dan modal insan berasaskan teknologi yang diharapkan dapat mewujudkan ekonomi berasaskan teknologi dan mewujudkan pekerja berkemahiran tinggi yang berkualiti.

Katanya, empat dasar berkenaan ialah Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030, Rangka Kerja 10-10 Sains,Teknologi, Inovasi & Ekonomi (10-10 MySTIE) dan Pelan Strategik MOSTI 2021-2025.

Selain itu, katanya MBOT sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk pihak industri bagi mengenal pasti dan merancang program upskilling dan reskilling yang dapat menambah nilai dan kemahiran teknologis serta juruteknik dalam negara.

“Kesan langsung daripadanya, golongan profesional ini boleh menikmati gaji yang setimpal dengan kemahiran yang mereka miliki,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -