
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Penggunaan inisiatif teknologi bersama penetapan dasar dan pentadbiran adalah pendekatan terbaik bagi meningkatkan keberkesanan menangani masalah ekonomi gelap.
Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa, berkata kaedah ini adalah berdasarkan amalan terbaik yang dilaksanakan oleh pihak pentadbir cukai negara lain bagi menangani masalah yang sama.
Namun secara umum, katanya analisis risiko pematuhan cukai berkaitan ekonomi gelap dikenal pasti berdasarkan kategori pembayar cukai, sektor atau industri yang berisiko serta risiko yang dikenal pasti berdasarkan kebocoran dalam saluran hasil cukai kesan dari faktor luaran dan dalaman.
“Dari segi inisiatif jangka panjang, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melaksanakan beberapa inisiatif seperti meningkatkan aktiviti pendidikan cukai dan kesedaran cukai melalui seminar, taklimat, pengiklanan dan libat urus,” katanya menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Hassan meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah jangka panjang LHDN untuk mengatasi masalah ekonomi gelap bagi menangani masalah kewujudan sindiket jenayah dan amalan rasuah di dalam negara.
Yamani Hafez berkata, inisiatif lain ialah menumpukan terhadap tindakan penguatkuasaan yang lebih berfokus untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan percukaian;
Mulai 1 Januari 2023, katanya LHDN melaksanakan Sijil Pematuhan Cukai sebagai prasyarat untuk setiap syarikat dan pembekal yang ingin menyertai perolehan kerajaan.
“Nombor Pengenalan Cukai juga diberikan kepada semua warga Malaysia yang berumur 18 tahun secara automatik serta penggunaannya bagi semua urusan di LHDN seperti penyeteman dokumen rasmi,” katanya.
Beliau berkata, LHDN juga menggunakan teknologi kecerdasan buatan dan analisis data raya untuk mengumpul dan membuat padanan data, termasuk menggunakan cerapan tingkah laku untuk komunikasi lebih berkesan dengan pembayar cukai.
Katanya, LHDN juga menentukan sistem pematuhan cukai yang direka bentuk menjadi satu platform yang menggalakkan dan mendorong pematuhan secara sukarela oleh pembayar cukai. – HARAKAHDAILY 15/3/2022




















