Kementerian Pertahanan peka isu pelarasan jurang pencen veteran ATM

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang berusaha untuk mendapatkan opsyen terbaik bagi mengatasi isu pelarasan jurang pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang jika dilaksanakan melibatkan implikasi kewangan yang tinggi.

Timbalan Menterinya, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata kementerian mengakui skim perkhidmatan ATM adalah berbeza berbanding skim perkhidmatan awam lain.

- Advertisement -

Menurutnya, penjawat awam dari perkhidmatan kerajaan selain ATM menikmati pencen sehingga 60 peratus, manakala majoriti veteran ATM yang berkhidmat sehingga 21 tahun hanya layak menikmati pencen sebanyak 50 peratus.

“Sebagai alternatif, kementerian sedang menilai kesesuaian opsyen agar pemberian Elaun Kenangan kepada veteran ATM yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dapat dilaksanakan.

“Ini kerana sebahagian besar veteran yang terkesan dalam isu jurang pencen adalah mereka yang menerima pingat PJM. Jika opsyen ini mampu dilaksanakan, permasalahan jurang pencen di kalangan veteran ATM berkaitan akan dapat dikurangkan,” katanya menjawab soalan lisan M Karupaiya (PH-Padang Serai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ikmal Hisham berkata, kerajaan pernah memperuntukkan sebanyak RM60.9 juta bagi pemberian Elaun Kenangan PJM kepada 121,816 orang warga veteran ATM pada tahun 2020 dan sejumlah RM2.7 juta kepada balu dan waris pada tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya Kementerian Pertahanan berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan lagi peruntukan baharu untuk pemberian Elaun Kenangan PJM pada tahun akan datang.

Sebelum menjawab soalan lisan, Ikmal Hisham mengajak semua Ahli Dewan Rakyat mengingati peristiwa pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Sabah, genap sembilan tahun lalu.

“Semoga nama-nama pahlawan negara daripada ATM dan Polis Diraja Malaysia yang terkorban dalam melaksanakan Op Daulat pada Mac 2013 di Lahad Datu, Sabah, akan sentiasa dicucuri rahmat dan segar terpahat dalam sejarah tanah air,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/22

- Advertisement -