
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai atau JKMPay masih berstatus projek rintis bermula Februari sehingga Julai tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Seri Rina Harun berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat di sini pada hari ini ketika menjawab soalan daripada Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) berkenaan kewujudan khidmat konsultansi untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Apabila penerima OKU ini terlibat, kita pun buat konsultansi dengan mereka, nama pun projek rintis pastinya ada ruang untuk penambah baikan malah belum dijadikan dasar dan polisi lagi,” katanya.
Menurutnya lagi, projek tersebut hanya melibatkan Kedah, Perlis, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Selangor, tetapi tidak dilaksanakan di Pulau Pinang.
“Kita di sini jangan hendak politikkan semua perkara. Kita hendak buat ini untuk kebaikan rakyat, bila disebut ada negeri-negeri sebagai contoh Perlis, Kedah, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Selangor tidak termasuk Pulau Pinang.
“Ini hanya projek rintis, bagi membantu golongan OKU, kita kena tahu ada dalam kalangan mereka yang menerima wang tunai tetapi duitnya hilang dan digunakan untuk membeli perkara lain.
“Jad, untuk menjaga kebajikan mereka, sekurang-kurangnya seperti pakaian, makanan, ubat-ubatan mest dibeli, maksudnya bantuan keperluan asas itu perlu dijaga,” katanya lagi.
Tambah Rina, projek tersebut tidak hanya melibatkan golongan OKU tetapi untuk penerima bantuan kelulusan baharu di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Penerima JKMPay bukan hanya untuk Orang Kurang Upaya (OKU), tidak timbul soal diskriminasi dan kajian lanjut akan dibuat untuk penambah baikan,” jelas beliau.
Dalam pada itu Rina berkata, berdasarkan kajian yang dikeluarkan pada Oktober 2021 terhadap 1,066 peserta, pihaknya mendapati sebanyak 76 peratus bersetuju kaedah tanpa tunai memudahkan, 80 peratus pula bersetuju kaedah tanpa tunai lebih selamat berbanding tunai.
“Sementara, 80 peratus menyatakan kawalan perbelanjaan lebih baik melalui kaedah tanpa tunai, dan 3 peratus berpuas hati dengan transaksi dan jumlah kedai di kawasan terlibat<” ujarnya.
Menurut Rina lagi, projek berkenaan bukan sahaja membantu penerima bantuan tersebut malahan ia dapat mewujudkan prasarana ekonomi yang baik dalam kalangan pekedai runcit dan kedai-kedai kecil di seluruh negara.
“Jadi oleh itu, satu kajian menyeluruh akan diadakan bagi memastikan satu hala tuju dan dasar berkaitan projek ini dapat ditentukan.
“Dalam tempoh tersebut, projek ini akan kekal berstatus projek rintis di lokasi sedia ada dan ditangguhkan perluasannya ke negeri atau daerah lain sehingga laporan kajian dinyatakan dan juga dibentangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2022




















