Di sebalik ‘Penyelesaian Dua Negara’ dan normalisasi Israel

Helah politik dan agenda penipuan didalangi Zionis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyelesaian Dua Negara yang membahagikan Palestin dan Israel serta normalisasi ditaja negara haram itu di Negara-negara Arab hakikatnya adalah helah politik dan agenda penipuan Zionis.

Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, pembahagian untuk kaum Yahudi dan kaum Arab itu bukan menyelesaikan masalah, bahkan mewujudkan dua negara dalam keadaan tegang.

- Advertisement -

“Dalam masa yang sama Israel mengiktiraf Palestin dengan tidak ada kuasa, tak ada kuasa. Dan kita melihat Israel sendiri tidak menghormati penyelesaian dua negara ini. Mereka tak menghormati hak rakyat Palestin. 

“Mereka mendirikan penempatan baru, memindah orang-orang Yahudi dari luar datang beramai-ramai ke Palestin, menghalau penduduk Palestin, membakar rumah, bakar kedai, bakar kebun, dan mereka mempunyai tujuan yang tertentu.

“Perjuangan Freemason dan Zionis ialah mendirikan Empayar Yahudi Agung daripada Sungai Nil hingga Sungai Euphrate,” dedahnya pada Forum Perdana Ehwal Islam mengupas tajuk ‘Al-Quds, Satu Perjuangan’ di RTM TV1sebentar tadi.

Program sempena Sambutan Minggu Al-Quds ini bersiaran secara langsung dengan dimoderatorkan oleh Ustaz Mohd Hariri Muhamad Daud dan perantara, Ustaz Rizal Ramli di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

Malah katanya, menggalakkan lagi peperangan dan bukannya untuk damai di mana secara tersirat, penyelesaian yang terhasil dari Perjanjian Camp David dan Madrid Oslo itu supaya Negara Arab dan Islam mengiktiraf Israel.

“Ini impian, dan ditulis di Parlimen Israel, negara cita-cita bangsa Yahudi dari Nil sehingga Euphrates, daripada Mesir sehingga Iraq, itu negara mereka. Termasuk Madinah Munawwarah. Ini negara yang diimpikan oleh dari perjuangan mereka. 

“Dalam masa yang sama, mereka menggali terowong di bawah Masjidil Aqsa, kononnya untuk mencari Tabut iaitulah keranda yang dibawa oleh Thalut dan Nabi Daud. Tak jumpa keranda itu. 

“Yang sebenarnya agenda untuk merobohkan Masjidil Aqsa, dan mendirikan di tapaknya bangunan kuil Yahudi dinamakan Haikal Sulaiman, itu tujuannya,” sanggah beliau terhadap tindakan yang terhasil dari Perjanjian di Washington dan Madrid itu.

Menurutnya, negara-negara seperti Amerika, Britain dan Perancis sangat dipengaruhi oleh lobi Zionis sehinggakan untuk menjadi ketua negara itu mesti disokong oleh Zionis untuk menang dalam pilihan raya.

Agenda normalisasi pula katanya, menjadi pintu dan ruang kepada Israel untuk keluar ke dunia antarabangsa bagi perdagangan dan menyebarkan pengaruh mereka melalui negara Arab serta pengaruh negeri-negeri orang Islam sendiri.

“Dengan sebab itu semua pertubuhan Islam menentang normalisasi dianggap satu agenda untuk menipu, untuk menggoda umat Islam, bukan sahaja iktiraf Israel, tetapi menguatkan lagi negara Israel, menguatkan lagi mereka,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2022

- Advertisement -