Peranan KASA penting dalam pelaksanaan mekanisme pasaran karbon

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Prinsip asas pelaksanaan mekanisme pasaran karbon adalah antara keputusan utama Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland, tahun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini termasuk keperluan wajib untuk membuat pelarasan berpadanan bagi mengelakkan pengiraan berganda bagi semua transaksi kredit karbon yang melibatkan negara.

- Advertisement -

Menurutnya, keputusan rundingan juga menyatakan bahawa semua transaksi kredit karbon yang melibatkan pemindahan antarabangsa perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa negara melalui kerangka institusi yang dibentuk.

Selain itu, katanya keputusan rundingan menyatakan keperluan membangunkan had transaksi dan mekanisme kawal selia bagi transaksi kredit karbon antarabangsa.

“Ini penting bagi memastikan transaksi kredit karbon antarabangsa adalah telus, tidak dilaksanakan sewenang-wenang, serta mengambil kira kepentingan pemegang taruh berkaitan,” katanya ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, keputusan rundingan UNFCCC jelas menunjukkan peranan penting Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai pihak berkuasa negara berkaitan mekanisme pasaran karbon negara.

Menurutnya, KASA bertanggungjawab memberikan kebenaran semua transaksi antarabangsa kredit karbon dan melaksanakan pelarasan berpadanan bagi menjamin ketelusan pelaksanaan.

Pada masa sama, katanya KASA bertanggungjawab membangunkan infrastruktur asas bagi memantau dan menjejaki transaksi kredit karbon negara serta menyediakan laporan penglibatan negara di dalam mekanisme pasaran karbon.

Katanya, laporan penglibatan negara dalam mekanisme pasaran karbon juga akan melalui proses penilaian oleh pasukan pakar yang dilantik oleh UNFCCC.

“Seperti mana yang diputuskan Kabinet baru-baru ini, KASA sedang membangunkan Pusat Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) Kebangsaan yang akan turut mengandungi fungsi khusus berkaitan pemantauan dan pelaporan mekanisme pasaran karbon negara.

“Sehubungan itu, KASA berpendirian bahawa sebarang usaha dan penglibatan dalam mekanisme pasaran karbon perlu dirujuk dan dilaporkan kepada KASA sebagai pihak berkuasa negara yang diiktiraf oleh UNFCCC.

“Perkara ini penting kerana penglibatan negara dalam mekanisme pasaran karbon antarabangsa berpotensi untuk menjejaskan pencapaian Nationally Determined Contribution (NDC) dan aspirasi jangka masa panjang pelepasan sifar bersih negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -