
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan sekarang menghentikan usaha penjualan aset TH Plantations Bhd (THP) terbukti tepat apabila syarikat milik Lembaga Tabung Haji (LTH) itu mencatatkan peningkatan pendapatan kepada RM760.8 juta pada tahun lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata jumlah itu jauh meningkat berbanding hanya RM493.65 juta pada 2019, iaitu peningkatan sebanyak RM332.85 juta setelah kerajaan sekarang mengambil alih teraju pentadbiran LTH.
Namun, katanya aset THP terbiar begitu lama sepanjang pemerintahan lalu dan tidak dijaga dengan elok menyebabkan kerajaan sekarang meluluskan Pelan Pemulihan Aset bagi memaksimumkan hasil pengeluaran ladang.
“Lebih RM150 juta diperuntukkan untuk memulihkan ladang, termasuk membaja bagi menghasilkan pulangan yang optimum,” katanya menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Nik Mohamad Abduh meminta kerajaan menyatakan dasar dan perancangan yang telah dirangka setelah pelantikan Pengerusi LTH baharu bagi mengembalikan keyakinan pendeposit.
Ahmad Marzuk berkata, kerajaan yang tertegak pada hari ini adalah disebabkan iltizam untuk menyelamatkan aset umat Islam, terutama aset LTH daripada terus dilelong atau dijual sewenang-wenang.
Sehubungan itu, katanya tindakan yang sangat tepat apabila kerajaan meneliti semula penjualan yang dicadangkan dan sebahagian besar penjualan yang belum dimuktamadkan telah dibatalkan.
“Kerajaan memutuskan untuk mengusahakan sendiri ladang di bawah kelolaan THP dan terbukti dengan harga sawit sekarang, ia memberikan pulangan yang banyak kepada LTH dan akhirnya diagihkan kepada pendeposit,” katanya.
Sementara itu, katanya Tan Sri Azman Mokhtar yang dilantik sebagai Pengerusi LTH pada 20 Disember 2021 berpengalaman luas dalam aspek pelaburan dan transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika menerajui Khazanah Nasional Berhad antara 2004 hingga 2018.
Katanya, ini akan membantu LTH dalam usahanya merangka dan melaksanakan transformasi agar terus kekal kukuh dan mampan.
“LTH telah merangka Pelan Transformasi Strategik 2022-2024, iaitu pelan tiga tahun yang dinamakan HIJRAH24 untuk meneruskan usaha pengukuhan LTH selaras dengan mandat penubuhannya untuk menguruskan simpanan umat Islam yang mahu menunaikan ibadah haji.
“HIJRAH24 juga akan menyokong usaha kerajaan untuk terus memperkukuhkan semua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dalam membantu pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, HIJRAH24 meliputi transformasi lima teras utama iaitu Pengurusan Pelaburan, Pengurusan Haji, Pengurusan Deposit, Modal Insan dan Tadbir Urus, pelan ini akan menentukan arah transformasi TH untuk menjadi organisasi berprestasi tinggi dan mampan.
Katanya, ini merangkumi 24 inisiatif strategik termasuk inisiatif sokongan Digitalisasi dan Komunikasi, termasuk usaha untuk mengukuhkan Akta Tabung Haji 1995 dan menambah baik model operasi serta aspek tadbir urus LTH.
“Hasil semakan dan pindaan Akta Tabung Haji akan dibentangkan di Parlimen dan pelan strategik HIJRAH24 juga akan diumumkan kepada umat Islam, terutama pendeposit LTH. – HARAKAHDAILY 1/3/2022




















