
SEKTOR pertanian, penternakan dan perikanan yang terlibat bencana banjir, ribut dan ombak besar di Terengganu kali ini terlalu luas. Ada lokasi yang saya sempat sampai, tapi saya tak boleh janji mampu sampai ke semua tempat bencana.
Walau bagaimanapun, prosedur agihan bantuan Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu sudah sangat jelas sekalipun mungkin Exco Pertanian tak sempat sampai. Lawatan Exco Pertanian bukan syarat untuk dapat bantuan.
Ambil gambar kejadian bencana, buat laporan kepada jabatan berkenaan dan buat laporan polis. Urusan seterusnya akan diuruskan di peringkat jabatan sama ada Pertanian, Veterinar, Perikanan atau LKIM.
Kenapa menyusahkan rakyat kena ambil gambar dan buat laporan? Rakyat dah susah kena bencana sepatutnya permudahkan!
Seorang dua pegawai jabatan yang ada di daerah-daerah memang tak akan mampu nak turun melawat semua lokasi bencana terutama bila bencana berlaku dalam skala besar seperti sekarang.
Iya! Saya setuju untuk dipermudahkan. Kerana itulah Kerajaan Negeri Terengganu menubuhkan Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu bermula tahun 2020, apa yang tiada di mana-mana negeri lain.
Cuma perlu diambil maklum kita menguruskan sejumlah dana kerajaan yang akan diaudit ke mana ia dibelanjakan. Tentunya dalam proses audit ada dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan.
Juga kita jangan anggap semua orang jujur seperti kita. Di sana ada sekelompok manusia yang suka mengambil kesempatan. Kerana itulah kita perlukan bukti-bukti dan dokumen seperti yang diminta. Ia bukan menyusahkan tapi untuk meluruskan.
YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 28/2/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044468318018/posts/497236291768644/




















