Penduduk Ukraine mula melarikan diri ke negara jiran

Penduduk menaiki bas untuk meninggalkan ibu negara Ukraine, Kyiv.
- Advertisement -

KYIV: Penduduk di seluruh Ukraine yang mempunyai kenderaan membanjiri stesen minyak dan menuju ke arah barat selepas Rusia menyerang negara itu. Sebahagian mereka mula tiba di negara jiran, Moldova, Poland dan Romania.

Ketika kereta kebal dan tentera Rusia mula melepasi sempadan dan serangan udara Rusia melanda beberapa bandar utama Ukraine, semalam, kenderaan beratur panjang meninggalkan ibu negara, Kyiv dan tempat lain negara itu.

Senario ini berlaku selepas lapan tahun berkonflik dengan Rusia di wilayah timur Donbass, selepas berminggu-minggu penduduk bertahan untuk tidak panik, malah ramai ragu-ragu “pencerobohan berskala penuh” akan benar-benar berlaku. Sebilangan lain menolak mentah-mentah.

- Advertisement -

Selama berminggu-minggu juga, Ukraine meminta sekutu Barat mengambil tindakan lebih tegas terhadap Rusia dalam bentuk sekatan yang ketat.

Ukraine juga selama bertahun-tahun, memberi amaran kepada Barat bahawa pembinaan saluran paip gas asli Nord Stream 2 yang menghubungkan secara langsung negara Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia, tanpa melalui Ukraine, akan membahayakan keselamatan EU.

Mengikut Kementerian Dalam Negeri Ukraine, Rusia melakukan lebih 203 serangan dalam tempoh sehari di Ukraine yang meragut berpuluh-puluh nyawa di kalangan orang awam dan tentera.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov, mengesahkan lebih 70 sasaran tentera di seluruh Ukraine musnah. Ketika negara itu diserang dari tiga penjuru, penduduk Ukraine mula melarikan diri ke barat negara itu dalam keadaan keliru dan tidak pasti.

“Di mana-mana sahaja, kami melihat penduduk beratur untuk mendapatkan petrol,” kata wartawan Isobel Koshiw dari pinggir Dnipro, sebuah bandar di tenggara Kyiv, ibu negara Ukraine yang menjadi sasaran bedilan besar-besaran Rusia, semalam.

“Kami melihat orang ramai beratur di mesin ATM. Di stesen minyak, mereka beritahu hanya mahu mengisi minyak kereta mereka, tetapi tidak tahu ke mana hendak pergi.

“Ramai tidak mempunyai tempat lain untuk pergi. Seluruh negara diserang. Sukar untuk beritahu ke mana anda harus pergi. Malah, kawasan barat Ukraine yang tiada siapa sangka akan diserang juga dibedil tentera Rusia,” kata Koshiw.

Kenderaan bertali arus meninggalkan ibu negara Ukraine, Kyiv, yang menjadi sasaran bedilan tentera Rusia

Pemimpin Eropah berjanji untuk mengumumkan pakej sekatan “paling keras” pernah dikenakan terhadap sesebuah negara.

Bagaimanapun semalam, beberapa pemimpin Eropah kelihatan keberatan untuk mengenakan sekatan paling keras yang dijanjikan, iaitu menyingkirkan Rusia dari Sistem Perbankan SWIFT, sekali gus mencetuskan kritikan pegawai Ukraine.

SWIFT adalah singkatan kepada Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia, iaitu suatu sistem mesej global yang menghubungkan ribuan institusi kewangan di seluruh dunia.

Penganalisis keselamatan di Pusat Razumkov di sini, Oleksiy Melnik, berkata: “Tiada lagi tempat selamat di Ukraine. Apa yang berlaku selepas ini banyak bergantung kepada keupayaan tentera Ukraine untuk mempertahankan pencerobohan dan juga reaksi masyarakat antarabangsa.”

Ukraine berhasrat menjadi ahli NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara), tetapi pertubuhan itu menyatakan tidak akan campur tangan di Ukraine kerana bimbang akan mencetuskan konflik lebih besar yang tidak pernah dilihat oleh Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Melarikan diri ke tempat selamat

Penduduk Ukraine tidak dapat bertahan lagi dan mula menuju ke sempadan negara jiran. Mengikut laporan media, ada yang hanya berjalan kaki.

Di Poland yang menjadi tempat kira-kira 1.5 juta rakyat Ukraine mencari rezeki, kerajaan negara itu yang sebelum ini mengawal ketat sempadan dengan Belarus untuk mencegah kebanjiran pelarian Timur Tengah, menegaskan tiada siapa yang melarikan diri dari konflik Ukraine akan dibenarkan masuk.

Namun, pihak berkuasa sempadan Poland dilaporkan telah membuka lapan pusat penerimaan pelarian berhampiran Ukraine untuk menampung kehadiran pelarian tanpa tempat tinggal.

Ketua pengawal sempadan Poland, Jeneral Tomasz Praga, berkata terdapat peningkatan ketara bilangan penduduk Ukraine yang memasuki negaranya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi berkata: “Kami meneliti keadaan di Ukraine apabila penduduk negara itu mula meninggalkan rumah masing-masing demi keselamatan.”

Katanya, UNHCR bekerjasama dengan negara jiran Ukraine dengan meminta sempadan negara berkenaan dibuka kepada pelarian.

UNHCR menganggarkan kira-kira 100,000 penduduk Ukraine meninggalkan rumah mereka petang semalam, dan beberapa ribu orang dilaporkan telah memasuki negara jiran, terutama Moldova dan Romania. – TRTWorld

- Advertisement -