
KYIV/DONETSK: Presiden Vladimir Putin mengarahkan operasi tentera di timur Ukraine, perkembangan yang dilihat sebagai permulaan peperangan di Eropah.
Sebaik sahaja selesai perutusan khas Putin yang disiarkan stesen televisyen negara itu, siri bunyi letupan kedengaran menjelang subuh di ibu negara Ukraine, Kyiv. Bunyi tembakan juga kedengaran berhampiran lapangan terbang utama bandar itu.
Letupan juga dilaporkan berlaku di bandar wilayah pemisah timur Ukraine, Donetsk. Penerbangan awam pula diberi amaran menjauhi kawasan terbabit. Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa serangan utama terhadap Ukraine akan berlaku.
Putin berkata, beliau membuat keputusan melancarkan operasi tentera di wilayah pemisah timur Ukraine dan pertempuran antara tentera Rusia dan Ukraine, hanya menunggu masa untuk berlaku.
Beberapa jam sebelum itu, puak pemisah pro-Rusia merayu bantuan Moscow untuk menghentikan tindakan agresif Ukraine, dakwaan yang AS sifatkan sebagai proganda Rusia.
Putin berkata, tentera Rusia diarahkan melindungi rakyat dan menuntut tentera Ukraine meletakkan senjata.
“Semua tanggungjawab dan pertumpahan darah akibat pertembungan ini adalah kesilapan pemerintah Ukraine sekarang.
“Jangan sesiapa pun meragui bahawa sebarang serangan langsung terhadap Russia akan mengakibatkan kekalahan dengan kesan dahsyat bagi mana-mana pihak yang melakukannya,” katanya.
Putin mengulangi pendiriannya bahawa perluasan NATO dengan menerima Ukraine sebagai anggota baharu, tidak dapat diterima dan Rusia tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan diri terhadap ancaman dari Ukraine.
Bagaimanapun, skop operasi tentera Rusia masih belum jelas. Moscow sebelum ini menafikan mempunyai perancangan menawan Ukraine walaupun menempatkan jumlah tentera yang besar berhampiran sempadan negara jiran itu.
Semalam, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, berkata Moscow telah meluluskan serangan terhadap negaranya dan tidak memberi jawapan terhadap jemputan untuk mengadakan rundingan.
“Hari ini, saya memulakan inisiatif melalui perbualan telefon dengan Presiden Persekutuan Rusia. Namun jawapannya senyap,” katanya.
Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden, berkata pihaknya bersama sekutu lain akan bertindak balas terhadap Rusia kerana mengisytiharkan operasi tentera di Ukraine.
“Kita akan bertindak terhadap serangan tidak munasabah dan tanpa provokasi oleh tentera Rusia.
“Presiden Putin memilih untuk melancarkan perang yang akan membawa kehilangan nyawa dan kesengsaraan yang dahsyat.
“Rusia secara peribadi bertanggungjawab terhadap kematian dan kemusnahan akibat serangan ini. Dunia akan memastikan Rusia bertanggungjawab,” katanya yang akan mengumumkan tindakan terhadap Kremlin dalam tempoh terdekat. – REUTERS




















