
NEW DELHI: Pihak hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya dihentikan serangan dalam talian terhadap seorang wartawan wanita India Muslim, Rana Ayyub dan meminta pihak berkuasa di negara itu mengadakan siasatan terhadap gangguan tersebut.
Rana yang banyak mengkritik Perdana Menteri, Narendra Modi dan ideologi nasionalis Hindu Parti Bharatiya Janata (BJP), telah menjadi sasaran kempen penderaan dalam talian tanpa henti termasuk ancaman bunuh.
Satu kenyataan daripada PBB pada Isnin (21 Feb) berkata, Rana merupakan ‘mangsa serangan dan ancaman dalam talian yang semakin dihimpit bahaya’ oleh kumpulan sayap kanan nasionalis Hindu.
Serangan dalam talian terhadap wartawan berusia 37 tahun dikatakan adalah sebagai tindak balas kepada laporan Rana mengenai isu yang melibatkan golongan minoriti Muslim India, kritikannya terhadap pengendalian kerajaan terhadap pandemik Covid-19, dan ulasannya mengenai larangan hijab baru-baru ini di sekolah dan kolej di negeri selatan Karnataka.
Kenyataan PBB itu juga menegaskan bahawa kerajaan India telah gagal untuk mengutuk atau menyiasat serangan dalam talian terhadap Rana yang merupakan wartawan dan kolumnis The Washington Post.
Selain itu, Rana juga telah mengalami gangguan dari segi undang-undang oleh pihak berkuasa India termasuk pembekuan akaun banknya dan aset-asetnya yang lain.
Rana memulakan kariernya sebagai wartawan penyiasat dan menulis sebuah buku berjudul Gujarat Files: Anatomy of The Cover Up yang mendakwa Modi terlibat dalam keganasan mazhab di Gujerat pada tahun 2002, ketika beliau sudah menjadi perdana menteri ketika itu. – AFP




















