
KOTA TINGGI: Rakyat Johor diseru agar memilih sebuah parti yang mampu memerintah dengan penuh berintegriti tanpa terpalit sebarang isu salah laku.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berhasrat agar negeri itu mampu menjadi ‘guru’ kepada negeri lain dalam berpolitik.
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu merupakan contoh terbaik untuk diteladani rakyat Johor dalam memilih parti yang mampu mengemudi kerajaan dengan baik.
“Orang Sabah dalam PRN Sabah boleh menang besar, orang Sabah boleh buat takkan orang Johor tak boleh buat.
“Kita harap jangan salah mengundi, 60 tahun kita salah mengundi, negeri kita hasilnya banyak, wawasan 2020 matlamatnya banyak tapi salah undi,” katanya yang juga Presiden PAS.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Perikatan Nasional di padang awam Taman Pasak Indah di sini, malam tadi. Majlis pelancaran dilakukan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut berucap ialah Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Antara pemimpin yang hadir ialah Pengerusi STAR, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan, Pengerusi SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Pengerusi Bersatu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari dan Timbalan Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu dijadikan pengajaran kepada semua rakyat khususnya pengundi di Johor untuk memilih kerajaan yang bebas daripada sebarang salah laku jenayah.
Beliau turut menasihatkan agar rakyat Johor tidak terpedaya dengan manifesto pihak musuh yang diibaratkan indah khabar daripada rupa.
“PKR ni parti penipu, janji nak hapuskan tol, PTPN, janji bermacam-macam tapi tak ditunaikan,” katanya.
Justeru katanya, rakyat Johor wajar memberikan mandat kepada PN untuk mentadbir kerajaan kerana pihaknya tidak akan menaburkan janji-janji kosong kepada pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 19/2/2022




















