
BANGKOK: Pengeksport durian negara ini kini gelisah dengan Dasar Sifar Covid-19 China yang dikhuatiri akan menjejaskan eksport raja buah Thailand ke negara itu.
Ini berikutan pemeriksaan lebih ketat menyebabkan kesesakan di pintu sempadan membabitkan ribuan trak membawa produk makanan dari Asia Tenggara yang perlu menjalani pemeriksaan lebih lama.
Pemain industri Thailand berkata, jika ada kes Covid-19 dikesan, buah-buahan akan dimusnahkan dan pintu sempadan akan ditutup beberapa hari atau minggu.
Buah durian yang digemari di China memberi sumbangan besar kepada ekonomi Thailand. Mengikut Jabatan Pertanian Thailand, sebanyak 875,000 tan durian bernilai AS$3.4 bilion dieksport ke China, tahun lalu.
Tahun ini, Thailand mensasarkan jumlah eksport meningkat kerana hasil tuaian dijangka meningkat, tetapi Dasar Sifar Covid-19 China dijangka memberi kesan pada musim tuaian akan datang.
Kebimbangan ini bukan tidak beralasan kerana dalam musim buah longan tahun lalu, ramai petani Thailand mengalami kerugian akibat kerenah di pintu sempadan.
“Kerosakan sangat besar dengan puluhan ribu tan buah tidak boleh dimakan,” kata Pengarah Pejabat Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Wilayah 6 Thailand, Chonlatee Numnoo.
Wilayah 6 ialah pengeluar durian terbesar di Thailand yang meliputi daerah timur, iaitu Chanthaburi, Rayong dan Trat.
Menurut Chonlatee, pengeluaran durian wilayah timur sahaja mencecah 740,000 tan tahun ini dan ini tidak termasuk 210,000 tan manggis yang juga eksport utama ke China.
“Sukar bagi kami untuk mengawal keadaan di sana kerana sentiasa ada kemungkinan virus itu dikesan jika pemeriksaan secara rawak dilakukan. Keadaan diburukkan dengan kewujudan virus Omicron yang lebih mudah berjangkit,” katanya.
Bagi meminimumkan risiko kerosakan buah dan mencegah kelewatan, katanya Thailand melaksanakan straregi Sifar Covid-19 versi tempatan di kebun durian dan tempat pembungkusan.
Ini meliputi pekerja perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19, mewajibkan pemakaian penutup muka dan sarung tangan, pemeriksaan suhu badan, melakukan pembasmian kuman terhadap produk, pembungkusan dan kenderaan yang melintasi sempadan.
“Kami perlu memastikan tempat pembungkusan bebas dari Covid-19. Malah pemandu trak perlu mematuhi prosedur ditetapkan, termasuk tinggal di kemudahan penginapan khas untuk mereka,” katanya.
Terdapat 702 tempat pembungkusan untuk pengeksportan buah di wilayah timur Thailand dengan 630 tempat di Chanthaburi.
Thailand rancang eksport durian guna laluan keretapi Laos-China
Thailand mengeksport durian ke China melalui jalan darat, laut dan udara setiap tahun, mengunakan laluan Laos dan Vietnam yang berkongsi sempadan dengan China.
Berikutan protokol Covid-19 lebih ketat di sempadan, kerajaan Thailand merancang mengeksport buah itu ke China menggunakan laluan keretapi berkelajuan tinggi baharu yang menghubungkan ibu negara Laos, Vientiane, ke bandar Kunming di China.
“Kami cuba menggunakan kaedah baharu itu. Jabatan Pertanian melakukan semua persiapan diperlukan pada musim tuaian akan datang yang dijangka pertengahan tahun ini,” kata Chonlatee.
Musim durian di Thailand bermula pada Mac ini dan mencapai kemuncak antara pertengahan Mei dan Jun.
Jika kerajaan Thailand berjaya merealisasikan pengeksportan menggunakan laluan keretapi, katanya ini akan mengatasi kesesakan di pintu sempadan dan memudahkan pemasaran lebih banyak buah-buahan Thailand ke China.
“Keupayaan eksport mengggunakan keretapi sangat tinggi. Setiap trip boleh membawa 35 hingga 50 kontena,” kata Presiden Persatuan Durian Thailand, Panusak Saipanich.
“Ini akan menyelesaikan banyak masalah di sektor eksport. Jika berjaya, kita tidak akan lagi tersekat di pintu sempadan. Jika pintu sempadan ditutup, penggunaan keretapi akan menjadi penyelesaiannya,” katanya.
Ketika ini, katanya Thailand menggunakan keretapi berkelajuan tinggi untuk mengeksport produk pertanian seperti getah dan ubi kayu, lantas berharap mendapat kelulusan China kerana pada Mei, musin durian dan manggis akan bermula. – CNA




















