
MUAR: PAS Kawasan Muar menyifatkan pihak tertentu sedang cuba mencalar imej parti ini dengan menaikkan poster berunsur jahat dan fitnah terhadap PAS di persimpangan Pekan Parit Bakar dan Pusat Perdagangan Sulaiman, di sini kelmarin.
Ketua Penerangan PAS Muar, Dr Baharom Mohamed berkata, pihaknya mengambil cakna dan memandang serius tindakan pihak dengan sengaja melakukan persepsi negatif dan provokasi menjelang PRN Johor itu.
“Kami menasihatkan, jika tak mampu berbuat kebaikan menjalin ukhuwah dan persaudaraan Islam, usahlah mengharu-birukannya pula dengan fitnah dan pelbagai mehnah yang disulam.
“Usahlah menabur gundah dan mengadu domba, mementingkan dunia berbanding agama. Islam melarang perbuatan keji seperti fitnah memfitnah, dengki mendengki dan permusuhan.
“Kadang-kadang fitnah dicanang semata-mata untuk menjatuhkan reputasi seseorang atau organisasi dan mewujudkan persepsi yang buruk terhadap individu atau organisasi tersebut,” ujarnya.
Beliau membidas perbuatan yang bertindak seperti itu dengan ingatan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara di mana sesuatu itu hendaklah dijayakan dengan cara yang betul dan menepati kehendak syarak.
Kesali beliau, budaya politik kotor fitnah memfitnah menjadi perkara biasa dalam masyarakat masa kini tanpa memikirkan dosa dan pahala, sedangkan Islam melarang keras amalan fitnah yang merupakan dosa besar.
“Kami menegaskan bahawa, Matlamat tidak menghalalkan cara. Jangan bersikap baling batu sembunyi tangan, jangan mengadu domba. Kerana politik Islam keutamaannya adalah kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Politik Islam juga adalah dakwah dan tarbiyah serta mengajak amal maaruf nahi munkar. Politik Islam menganjurkan musyawarah,” ujarnya.
Justeru, PAS Muar katanya, menyeru semua pihak agar mewujudkan sikap hormat-menghormati dan mengelakkan budaya fitnah yang semata-mata ingin mendapat laba politik dan kepentingan lain.
Sebaliknya seru beliau, amalkan budaya politik secara matang dan sejahtera agar keharmonian dan kemakmuran negara terus terjamin demi kesejahteraan negara dan tanah air tercinta.
“Islam mengatur kehidupan manusia dalam menjaga perhubungan dengan Allah dan perhubungan dengan sesama manusia. Ianya bertujuan menjaga kemaslahatan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
“Islam menolak kemudaratan dan punca yang membawa kepada kemudaratan. Perpecahan lebih hampir kepada kemudaratan manakala perpaduan lebih hampir kepada maslahah (menjaga kepentingan)umum dan menjadi asas kekuatan,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 16/2/2022





















