Kilang ikan sardin RM16 juta dibina di Tok Bali

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Sebuah kilang memproses ikan sardin bernilai RM16 juta akan dibina di Tok Bali  di mana produk itu untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk  Dr Nik Muhammad  Zawawi Salleh berkata, kos tersebut termasuk membina bangunan kilang, mesin, peralatan lain, pengoperasian dan visel  penangkapan.

- Advertisement -

“Bangunan kilang dalam proses untuk  dibina terletak berhampiran kilang air batu yang dijangka akan beroperasi dalam  tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pangkalan MyKomuniti Perikanan (MyKp) di Kampung  Pacakan,  Semerak  di sini,  hari  ini.

Turut hadir Pengarah Lembaga  Kemajuan Ikan Malaysia  (LKIM)  Kelantan, Khuzaimah Hussin  dan  Penegerusi MyKp Kampung Pachakan,  Mohamad Yusoff Mamat.

Dr  Nik  Zawawi  yang  juga Ahli  Parlimen Pasir Puteh berkata. pembinaan kilang ikan sardin itu penting kerana sebelum ini sebahagian  ikan yang didaratkan di Pelabuhan  LKIM Tok Bali di eksport ke Thailand  untuk diproses sebagai ikan sardin.

Katanya juga, bagi menyokong usaha itu pihak kementerian sedang memproses lebih 10,000 rakyat  tanpa  warga negara yang tinggal di Kelantan untuk diberi pas  pelaut bagi membolehkan mereka bekerja di sektor  laut  dalam sebagai  nelayan.

“Mereka adalah  pemain utama dalam sektor itu untuk membantu pengusaha  bot laut dalam tempatan yang  menghadapi masalah tenaga  kerja  yang sanggup dan mampu tinggal  berbulan di laut antarabangsa,” katanya.

Beliau juga berkata,  usaha itu  mendapat persetujuan pengusaha bot laut dalam dan Kementerian  Dalam  Negeri (KDN)  yang dijangka  selesai  dalam tempoh  terdekat.

Dr Nik Zawawi  berkata, usaha itu  juga sebagai persediaan awal untuk  menyediakan tenaga kerja bagi  meneroka industri perikanan laut  dalam khususnya menghasilkan ikan tuna dari spesies yellow-pink bagi keperluan kilang memproses ikan sardin. – HARAKAHDAILY 13/2/2022

- Advertisement -