PRN Johor: PAS kenal pasti Dun ditandingi

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
PAS sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS belum membuat keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi memandangkan masih banyak masa sebelum penamaan calon.

Menurut beliau, PAS sudah mengenal pasti lokasi bakal ditandingi atas tiket PN dan perundingan akan memuktamadkan dalam satu Jawatankuasa Induk PRN Johor bersama parti komponen.

- Advertisement -

“Sebenarnya hampir semua kerusi kita akan bertanding daripada tiga partilah, PAS, Bersatu dan Gerakan sebahagian daripada 56 (Dun). Sebahagian besar kita akan bertanding semua, kita akan masuk semua bertanding.

“Kita akan mengadakan rundingan bersama parti komponen PN secara bersama bagi memuktamadkan perkara ini. Sebelum ini kita dalam pilihan raya lalu bertanding banyak kerusi kerana bergerak sendiri,” katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Projek Program Non-Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1, Negeri Kelantan di Pasir Tumboh, di sini hari ini.

Turut hadir pada lawatan itu Pengarah Bahagian Bekalan Air Kementerian Alam Sekitar dan Air, Rahmat Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Tumboh, Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, persiapan jentera sudah dilakukan bahkan bersetuju untuk menggerak bilik gerakan termasuk menerima pengarahan daripada induk.

Tambahnya, PAS dan Gerakan sedang meneliti bagi meletakkan calon bukan Melayu di 14 Dun.

Beliau berkata kawasan itu menepati kriteria, antaranya majoriti pengundi dari kalangan kaum Tionghua selain perhatian kepada pengundi muda.

Katanya kerusi itu menjadi tumpuan Gerakan dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang diterajui ahli bukan Melayu, turun berkempen dan memberi penjelasan mengenai pelbagai isu.

“Johor ni demografik politik dia beza sikit. Pertamanya orang muda akan mengundi dan jumlahnya agak signifikan dalam konteks Johor, dan kedua kita tengok beberapa kerusi yang majoriti pengundi dari kaum Tionghua.

“Kita melihat ruang kerjasama untuk melakukan persefahaman politik terutama dengan rakan, terima kaedah kita bila Umno solo PAS buat dalam Perikatan Nasional, tak ada pilihanlah,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata kerjasama dalam PN kini dilihat sangat baik malah yakin situasi tersebut dapat dikekalkan sehingga PRU15 nanti.

Menurutnya, PAS sentiasa mengamalkan konsep terbuka untuk mengadakan persefahaman politik terutamanya dengan rakan yang boleh menerima kaedah bersama dalam menghadapi situasi politik semasa. – HARAKAHDAILY 11/2/2022

- Advertisement -