Pengaruh inovasi dan inklusif PAS kepada politik negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS telah melakukan pendekatan politik yang inovatif dan inklusif dengan membina hubungan bersama banyak parti-parti politik ketika negara dilanda krisis pemerintahan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS mengambil peluang menerusi suasana sedemikian menyampaikan kebaikan parti ini hingga dapat mengadakan pelbagai kerjasama.

- Advertisement -

“Waktu itu kita ada Kerajaan PH memerintah. Kemudiannya jatuhnya Kerajaan PH digantikan dengan Kerajaan PN (Perikatan Nasional) 1.0 dan kemudiannya jatuh Kerajaan PN1.0 naik pula Kerajaan PN2.0 di bawah tagline ‘Keluarga Malaysia’. 

Jadi, inovasi yang kita lakukan ialah kita mengambil suasana itu dan kita ‘leverage’ untuk kebaikan kepada PAS. Iaitu saya nampak leverage daripada perkara ini kita dapat berjumpa dengan ramai lagi kawan, parti-parti kawan ini.

“Kita dapat ceritakan tentang dasar dan pendekatan PAS yang lebih inklusif kepada rakyat,” ujarnya ketika ditemubual dalam wawancara bersama Penganalisis Massa, Feng Ren Guan baru-baru ini.

Beliau juga semasa menjadi Ketua Pemuda PAS Malaysia sesi lalu turut mengadakan inovasi dari sudut sukarelawan kepada rakyat ketika negara dalam keadaan berdepan dengan cabaran penularan COVID-19.

Ceritanya, ketika itu berlaku isu besar mengenai simpanan bekalan darah negara, lalu beliau telah mengerakkan Jabatan Amal Malaysia selaku entiti di bawah Pemuda PAS mengadakan Amal Mega Blood Donation.

“Kita telahpun memecahkan rekod negara dan diberikan pengiktirafan oleh Pengarah Pusat Darah Negara kerana berjaya mengumpulkan darah begitu banyak pada waktu itu seluruh Malaysia dalam keadaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Jadi itu satu kebanggaan kepada PAS khususnya dan menunjukkan kita inklusif, kita bukan eksklusif. Apa yang kita boleh bantu, kita bantu kepada rakyat walaupun dalam keadaan sukar seperti COVID-19,” ujarnya

Inovasi pendekatan juga jelasnya, dilakukan ke atas media di mana telah mengeratkan lagi hubungan langsung bersama antaranya Awani, Bernama, Sinar, Malaysia Gazette dan pelbagai lagi akhbar cetak dan juga media elektronik.

“Zaman saya menjadi Ketua Pemuda, kali pertama kami berjaya masuk RTM TV1 dan kita diberikan ruang untuk kita menceritakan the inclusiveness of PAS apa yang kita boleh lakukan kepada rakyat,” ujarnya.

Menyentuh kedudukan bersama parti-parti lain dalam Kerajaan Persekutuan, terangnya keadaan sekarang memerlukan kepada kestabilan politik, bukan sahaja untuk menangani cabaran yang ada, tetapi juga menarik keyakinan luar.

“Formula ini sekiranya dapat dikembangkan lagi iaitu kita dapat menggabungkan Umno, PAS dan juga BERSATU di bawah satu bumbung. Dan jangan lupa Umno bersama dengan Barisan Nasional (BN). 

“Di dalam BN kita ada MCA dengan MIC dan PBRS. Tiga parti yang bukan Bumiputera. Di dalam PN kami ada GERAKAN, SAPP, STAR,” ujarnya menegaskan gabungan sedia ada meredakan krisis politik negara.

Katanya, gabungan yang ada ini tentunya lebih baik berbanding PH di mana selama 22 bulan memerintah telah gagal memberi keadilan kepada rakyat.

“Umno, BERSATU dan PAS kita duduk semeja. Umno bersama dengan BN. PAS dan BERSATU bersama dengan PN. Dan kami bersama dengan GPS daripada Sarawak, dan GRS sekarang ini di Sabah. 

“Empat komponen ini GRS, GPS, PN, BN, kita bersatu, membawa satu gabungan yang bersifat masyarakat majmuk,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

- Advertisement -