
KUALA KRAI: Sehingga sekarang belum ada sebarang aktiviti pembalakan baru di Hutan Simpan Kekal (HSK) blok Sungai Rek selepas dibantah penduduk tiga tahun lepas.
Pengerusi Tandak Air Kampung Chuchoh Puteri Mohd Sakri Ibrahim berkata, bantahan penduduk menyebabkan aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan tidak dijalankan sehingga sekarang.
Katanya juga kawasan bukit di kompartmen 38 HSK Sungai Rek dijadikan lokasi kawasan tadahan air bagi kegunaan penduduk di Chuchoh Puteri A dan Chuchoh Puteri B.
Kata beliau sehingga sekarang terdapat lima kawasan tandak air yang dibina penduduk bagi membekalkan kepada lebih 6,500 penduduk di kedua-dua kampung terbabit.
“Kawasan tadahan air tersebut sehingga sekarang tidak terjejas dan tidak ada pencemaran kecuali musim hujan kerana sungai akan menjadi keruh sedikit,” katanya di sini.
Baru-baru ini sebuah akhbar mendakwa air sungai bertukar menjadi keruh seperti teh susu setiap kali hujan akibat kesan pembalakan.
Mohd Sakri yang juga Setiausaha Majlis Tindakan Dun Manek Urai berkata, terdapat tiga lokasi tandak air bagi kegunaan penduduk Kampung Chuchuh Puteri A dan dua tandak lagi untuk penduduk di Chuchuh Puteri B.
Menurutnya juga kampung tersebut terdapat sebuah sekolah kebangsaan, sebuah pondok polis, dua masjid dan lapan musala.
“Penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air daripada punca tandak di atas bukit memandangkan kampung tersebut terletak di kawasan tinggi dan tidak sampai air dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB),” ujarnya.
Beliau juga berkata, penduduk bergotong royong membaiki kawasan tandak tersebut baru-baru ini hasil sumbangan kewangan diberi Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah dan Jabatan Bekalan Air Kelantan.
Katanya sumbangan yang diberi wakil rakyat digunakan membeli 60 beg simen, besi, playwood tebal, wire rot dan paip PVC 8 inci.
Manakala Jabatan Bekalan Air membekalkan 42 gulung poly paip 3 inci yang dianggar bernilai RM40,000.
Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Tandak Air Line 4 Che Othmani Che bedollah, 54 menafikan mengeluarkan kenyataan menggunakan wang sendiri dan meminta derma untuk membeli paip baharu.
“Ramai saksi yang dengar apa yang sebut kepada wartawan sebuah akhbar yang datang baru-baru ini. Tidak pernah saya sebut minta derma bagi membeli paip kerana ia sudah disumbang wakil rakyat,” ujarnya.
Penduduk di kawasan tersebut menggunakan air tandak di puncak bukit sejak 1982 bagi keperluan harian. – HARAKAHDAILY 8/2/2022




















