Semua pihak perlu jayakan pelaksanaan PICKids

- Advertisement -

Oleh BASITH SAMAD

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bagi negeri Sabah yang telah dilancarkan pada 3 Februari lepas, menyasarkan penerima suntikan vaksin dalam kalangan kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun.

Sehubungan itu, Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Asrul Samat berkata, pelaksanaan PICKids di negeri Sabah perlu dijayakan sebaik mungkin dengan kerjasama khusus daripada ibu bapa atau penjaga, susulan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak setelah sesi persekolahan dibuka semula pada awal tahun ini.

“Di samping membantu mendaftarkan anak untuk temu janji vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera, ibu bapa atau penjaga juga berperanan untuk membawa anak ke pusat pemberian vaksin (PPV) serta memantau tahap kesihatan selepas divaksin,” ujarnya.

Menurutnya, diharapkan agar pihak majikan memudahkan urusan para pekerja dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang ingin membawa anak-anak mereka ke PPV pada tarikh temu janji serta pemantauan kesihatan bagi menerima suntikan vaksin.

“Pihak majikan harus memberikan kelonggaran atau pelepasan kepada golongan ibu bapa bekerja untuk melaksanakan PICKids, selaras dengan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, bahawa majikan dipohon supaya memberikan cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang terbabit,” katanya lagi.

Sehubungan itu, pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pelaksanaan PICKids ini agar ia dapat berjalan dengan lancar dan menatijahkan kebaikan, khususnya ke arah mencapai imuniti kelompok di negeri Sabah. – HARAKAHDAILY 7/2/2022

- Advertisement -