
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Menteri Besar menegaskan beliau bukan seorang ekstremis seperti tuduhan sesetengah pihak ekoran keputusan kerajaan negeri tidak lagi mengeluar serta memperbaharui lesen premis judi di Kedah.
Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat demi kebaikan dan kesejahteraan semua keluarga di Kedah tanpa mengira kaum dan agama.
“Keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui dan mengeluarkan lesen premis perjudian tidak ada kaitan dengan sebarang fahaman melampau sepertimana dakwaan golongan tertentu.
“Keputusan yang dibuat demi kebaikan dan kesejahteraan semua tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Seri Mentaloon malam semalam.
Mulai tahun ini kerajaan Kedah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi mengeluar dan memperbaharui lesen premis perjudian.
Sanusi juga berkata, berjudi merupakan perbuatan tidak baik yang membawa kesan buruk serta memudaratkan terutama kepada ‘kaki judi’ itu sendiri.
Aktiviti itu katanya menyebabkan ‘kaki judi’ terbabit menanggung hutang serta terlibat dengan ‘ah long’ sehingga nyawa dan keselamatan keluarga terancam.
“Tiada siapa pun berubah menjadi kaya-raya setelah menang judi. Yang kaya-raya hanya tauke judi sebaliknya ‘kaki judi’ daripada hidup senang ada yang hilang harta dan keluarga.
“Ada yang terpaksa berpindah randah bersembunyi dan hilang pekerjaan,” tambahnya.
Oleh itu beliau yakin suatu hari nanti semua pihak terutama masyarakat Cina faham tujuan sebenar keputusan kerajaan negeri itu dilaksanakan.
Pada majlis itu beliau mengagihkan sumbangan kepada 70 badan bukan kerajaan (NGO). – HARAKAHDAILY 8/2/2022











