PAN pertikai usaha jalin hubungan sesama Islam

Razman nasihat pemimpin PAN itu supaya jaga parti sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAN, Dato’ Seri Salahuddin Ayub ternyata keliru dan melatah menyaksikan peranan Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria membidas pertikaian Ahli Parlimen Pulai itu terhadap Presiden PAS tersebut dan menasihat agar menjaga PAN dari kemungkinan lenyap selepas ini.

- Advertisement -

Salahuddin mengecam pertemuan Abdul Hadi dengan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.

Beliau seperti sikapnya yang diketahui, telah merepek dengan mendakwa pertemuan sempena lawatan kerja ke Qatar itu telah mendahului Kerajaan Malaysia mengiktiraf Taliban di Afghanistan.

“Apa yang dia (Salahuddin) nak pertikai sebenarnya? Pertemuan Tok Guru (Abdul Hadi) bukan soal nak iktiraf Taliban atau tidak. Tapi lebih menekankan soal aspek kemanusiaan, soal nak beri bantuan. Ini bukan sesuatu yang luar biasa.

“Seluruh dunia telah memulakan proses dialog bersama kerajaan baharu Afghanistan, termasuklah UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), EU (Kesatuan Eropah), OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), US (Amerika Syarikat), China. 

“EU pun kata, this dialogue does not imply recognition but is part of EU’s operational engagement. Banyak negara dah mula beri bantuan. Jerman, Belanda tahun lepas lagi dah mula beri bantuan kemanusiaan kepada guru dan doktor di Afghanistan.

“Kita pun agak hairan kenapa tiba-tiba dia melatah dalam perkara ni? Kononnya ‘rahmatan lil alamin’, tapi pertikai usaha untuk jalin hubungan sesama Islam, untuk bantuan kemanusiaan. 

“Apa dia nak sebenarnya? Ada ‘remote control‘ ke yang suruh dia pertikai benda-benda macam ni?” bidas beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Tuan Guru Abdul Hadi selama empat hari sehingga 4 Februari lalu turut bertemu ramai tokoh penting di negara tersebut termasuk Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid Khalifa Abdul Aziz Al-Thani.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu, lawatan Abdul Hadi ke Qatar telah mendapat mandat serta persetujuan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. – HARAKAHDAILY 6/2/2022

- Advertisement -