Dr Mohamed Azam dilantik Ketua Pengarah IKIM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri telah bersetuju melantik Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Mohamed Azam atas pelantikan itu.

- Advertisement -

Katanya, ketokohan latar belakang Mohamed Azam diyakini mampu melakar kegemilangan IKIM sebagai sebuah institusi Islam yang menjalankan kajian, penyelidikan berkaitan pemerkasaan umat Islam dalam pelbagai bidang.

Beliau berharap Mohamed Azam dapat memperkasa aspek penerangan kefahaman Islam termasuk melalui penyiaran Islam Radio IKIM.

“Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Dr. Mohamed Azam yang dilahirkan pada 18 Jun 1966, berpengalaman luas dalam bidang akademik, penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran serta dakwah di media.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah di Universiti Malaya pada tahun 1990 dan seterusnya menyambung pengajian di peringkat Sarjana pada tahun 1993 di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom.

Kelulusan tertinggi beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan undang-undang pada tahun 2007 juga di University of London, United Kingdom.

Beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia sejak tahun 2013.

Dalam dunia akademik di institusi pengajian tinggi, beliau bertugas sebagai pensyarah di UiTM bermula tahun 1990 sehingga tahun 2020.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Kumpulan CIMB pada tahun 2014 sehingga 2017.

Penulisan akademik serta syarahan beliau khususnya dalam bidang perundangan Islam sentiasa menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa. – HARAKAHDAILY 3/2/2022

- Advertisement -