
SIK: Kejohanan lasak perlumbaan motocross Tasik Beris Extreme Endurance sedia dijadikan acara tahunan dan diangkat penganjurannya bagi peringkat antarabangsa, demikian kata Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat tersebut, termasuk bakal merancakkan lagi sektor ekopelancongan, beliau akan berusaha mengadakan perbincangan bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program julung kali dengan mencatat sejarah penyertaan paling tinggi dalam negara iaitu melibatkan 622 pelumba ini telah dilangsungkan di litar motocross Tasik Beris, di sini pada Jumaat dan Sabtu, kelmarin.
“Bukan sahaja di Tasik Beris ini, tapi banyak lagi lokasi di Daerah Sik ini khususnya dan Negeri Kedah amnya, mempunyai geografi atau muka bumi yang sangat menarik dan sesuai untuk diadakan cabaran perlumbaan sukan ekstrem ini.
“Saya seru juga, selain penganjuran seperti ini untuk memupuk minat dan mencungkil bakat serta mewujudkan kegiatan serta persaingan sihat dalam kalangan anak muda terutamanya, kita juga dapat atasi isu-isu gejala seperti perlumbaan haram dan sebagainya.
“Selain itu, ia membantu juga kepada merancakkan ekonomi antaranya dengan alam semulajadi dimiliki di sini dapat membantu sektor ekopelancongan.
“Pihak-pihak lain juga saya pelawa berkolaborasi di penganjuran akan datang seperti mengadakan pameran kerjaya, jualan produk dan pelbagai promosi lain,” ujarnya memberi reaksi terhadap sambutan ramai ke program ini.
Kejohanan anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik dan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sik (PUSRASIK) serta Persatuan Aktiviti Lasak Sik (PALS) dan Sik Motocross Club (SMC) ini merebut hadiah wang tunai berjumlah RM15,100.
Memakai sistem pengiraan ‘transponder’ sepanjang dua hari kejohanan, ia melibatkan lapan kategori dengan Juara bagi setiap kategori membawa pulang hadiah RM1,200 (open endurance) dan RM800 (night endurance dan VIP 40) bersama trofi.
Manakala RM600 (cubcross open dan CKD open) dan RM500 (cubcross standard dan VVIP 50) juga bersama trofi, sementara Naib Juara hingga tempat ke-10 turut membawa wang tunai dengan jumlah berbeza mengikut kategori bersama trofi.
Bagi pemenang tempat ke-11 hingga 15 bagi setiap kategori mereka menerima pingat daripada pihak penganjur.
Hadir menyaksikan kejohanan ini antaranya Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Badrul Hisham Abdul Rahman dan Ustaz Rizal Mat Zainon serta Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid serta Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Ustaz Shahiful Nasir. – HARAKAHDAILY 10/1/2022






















