
BRONX: Sekurang-kurangnya 19 orang termasuk sembilan kanak-kanak maut, selepas kebakaran pada Ahad di sebuah bangunan pangsapuri dekat sini di New York.
Datuk Bandar New York, Erica Adams berkata, seramai 63 orang mengalami kecederaan, 32 daripadanya telah dimasukkan ke hospital dengan 13 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Sementara Pesuruhjaya Jabatan Bomba, Daniel Nigro memberitahu, pihaknya telah menemui mangsa di setiap tingkat blok pangsapuri 19 tingkat itu, dengan kepulan asap yang ‘belum pernah berlaku sebelum ini’.
“Kebakaran Ahad berlaku di sebuah apartmen yang merentangi tingkat dua dan tiga blok pangsapuri Bronx pada kira-kira jam 11:00 waktu tempatan (16:00 GMT). kata pegawai.
“Jumlah mangsa yang maut akibat kebakaran terbaharu ini adalah yang paling teruk dalam sejarah New York sejak 30 tahun,” ujarnya.

Kebakaran tersebut berlaku beberapa hari selepas kebakaran sebuah pangsapuri di Philadelphia yang mengorbankan 12 orang, dengan lapan kanak-kanak antara yang maut.
Kira-kira 200 anggota bomba dihantar untuk memadam kebakaran, yang mana pegawai percaya dicetuskan oleh pemanas elektrik yang tidak berfungsi.
Menurut Nigro lagi, terdapat dua tingkat pangsa itu mengalami kebakaran, tetapi asap telah merebak ke setiap tingkat.
“Pintu ke pangsapuri, lokasi kebakaran bermula dibiarkan terbuka, dan asap kemudian merebak ke setiap tingkat.
“Anggota bomba menemui mangsa di setiap tingkat di tangga dan membawa mereka keluar dalam keadaan jantung dan pernafasan mereka terhenti,” katanya.
George King, yang tinggal berdekatan, memberitahu agensi berita AFP, orang ramai melambai dari tingkap ketika api mula menyambar.
“Saya melihat asap itu, ramai orang panik. Anda dapat melihat bahawa tiada siapa yang mahu melompat dari bangunan itu.”

Gabenor New York, Kathy Hochul melabelkan kejadian malang tersebut sebagai ‘malam tragedi’, dan berjanji untuk mewujudkan dana pampasan buat kesemua mangsa.
“Kami akan salurkan wang peruntukan untuk mencari perumahan baharu, kos pengebumian dan apa sahaja yang mangsa perlukan kerana itulah yang kami lakukan di sini di New York,” kata Hochul.
Kawasan Bronx di mana kebakaran berlaku menempatkan kediaman penduduk pendatang Islam dalam jumlah yang besar dan ramai daripada mereka yang terjejas oleh kebakaran itu dipercayai berasal dari Gambia. – Agensi




















