Lagi putar belit mengelirukan mengenai vaksin COVID-19

- Advertisement -

TERDAPAT satu artikel yang viral melarang rakyat Malaysia untuk ambil booster dos vaksin COVID-19. Katanya FDA tidak meluluskan vaksin Pfizer sebagai dos booster. Begitu juga dengan vaksin jenama Moderna yang dilarang penggunaannya di Sweden, Denmark, Norway, dan Iceland.

- Advertisement -

1. Tulisan itu merujuk kepada kenyataan awal FDA bertarikh 17 September 2021. Ianya rujukan lama. Selepas daripada itu FDA telah pun membuat kenyataan balas sekali lagi setelah meneliti data-data laporan dan kajian yang mengaitkan kesan sampingan vaksin Pfizer. 

FDA mereka telah pun meluluskan penggunaan vaksin Pfizer sebagai booster pada 22 September 2021. Kenyataan awal pada 17 September itu adalah untuk memberi peluang kepada pakar-pakar meneliti kajian-kajian yang sedang berlaku pada masa tersebut. 

Boleh baca lanjut di https://www.fda.gov/news-events/press-announcements/fda-authorizes-booster-dose-pfizer-biontech-covid-19-vaccine-certain-populations

2. Begitu juga dengan kenyataan yang menyatakan bahawa beberapa buah negara seperti Sweden, Denmark, Norway, Iceland telah melarang penggunaan vaksin COVID-19 berjenama Moderna, ianya adalah satu penyataan yang salah tafsir serta telah diputar belit oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam isu ini. 

Boleh baca isu ini dalam kenyataan oleh pakar setiap negara berkenaan di https://www.newsweek.com/fact-check-has-sweden-denmark-norway-iceland-banned-moderna-vaccine-1638563?amp=1.

Nota: Malaysia masih belum guna Moderna pun lagi. Lagipun vaksin Pfizer dan lain-lain sudah mencukupi untuk kegunaan dalam negara kita.

3. Saya lihat tulisan sebegini banyak sahaja berlegar dalam media sosial yang ditulis oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Bahkan tidak pun menamakan siapa penulisnya, serta rujukan yang diambil adalah daripada blog yang tidak pun mempunyai kredibiliti langsung. 

Diharap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan teknik pihak-pihak yang tertentu yang sememangnya telah dikenal pasti ingin menggagalkan usaha kerajaan bagi memerangi COVID-19 dalam negara kita dan seluruh dunia.

Ilmu perubatan sentiasa mengalami evolusi dan dinamik. Pakar Perubatan akan merujuk segala kaedah rawatan melalui pembuktian terbaharu yang lebih meyakinkan dari masa ke semasa.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 6/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044617980972/posts/487461002751162/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -