
ROME: Polis Itali berterima kasih kepada Google Maps kerana membolehkan seorang ketua mafia yang cuba dijejaki sejak 20 tahun lalu berjaya ditangkap.
Gioacchino Gammino, ditemui di Galapagar yang terletak berhampiran ibu negara Sepanyol, Madrid dan berselindung di sebalik nama baru, Manuel.
Google Street View yang memaparkan seorang lelaki menyerupai Gammino di hadapan sebuah kedai runcit menjadi petunjuk utama polis Itali untuk mengesannya.
Gammino melarikan diri dari penjara Rebibbia di sini pada 2002 dan setahun kemudian tanpa kehadirannya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan kesalahan kerana membunuh yang dilakukan beberapa tahun sebelum itu.
Lelaki berusia 61 tahun itu adalah anggota kumpulan mafia Sicily dikenali sebagai Stidda adalah antara samseng yang amat dikehendaki oleh polis Itali.
Polis Itali percaya dia berada di Sepanyol, tetapi gambar Gammino bercakap dengan seorang lelaki di luar El Huerto de Manu atau Taman Manu, menggerakkan penyiasatan segera dijalankan.
Identitinya disahkan apabila polis menemui laman Facebook sebuah restoran yang sekarang tidak lagi beroperasi, Cocina de Manu yang terletak berdekatan. Gambar dalam Facebook menunjukkan Gammino memakai pakaian chef dan dia dengan segera dikenali berdasarkan tanda parut pada dagunya.
Restoran itu turut menawarkan makanan Sicily kepada pelanggan. Gammino ditangkap pada 17 Disember lalu, tetapi hanya dilaporkan dalam sebuah portal Itali, La Repubblica, semalam.
Selepas ditahan, Gammino dilaporkan berkata kepada polis: “Bagaimana kamu cari saya? Saya tak pernah menghubungi keluarga selama 10 tahun.”
Timbalan Pengarah Unit Anti-Mafia Polis Itali, Nicola Altiero, berkata Gammino kini dalam tahanan di Sepanyol dan berharap dapat membawanya kembali ke Itali menjelang akhir Februari ini.
Katanya, gambar dalam Google Street View membantu mengesahkan siasatan yang dijalankan menggunakan kaedah tradisional. – REUTERS




















