
TEHRAN: Lebih 500 pasukan menghantar bantuan apabila banjir melanda 87 bandar di hampir separuh daripada 31 wilayah Iran dengan Pertubuhan Bulan Sabit Merah menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada lebih 3,000 orang.
Sekurang-kurang lapan orang terbunuh dalam banjir di selatan Iran akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
“Berikutan banjir dan hujan sejak beberapa hari lalu di wilayah selatan negara ini, terdapat peningkatan jumlah kematian,” kata jurucakap perkhidmatan menyelamat kebangsaan, Mojtaba Khaledi.
Setakat ini, katanya lapan orang mati dan dua masih hilang, manakala 14 cedera.
Pegawai pengurusan krisis tempatan, Rahim Azadi, pula berkata lima orang yang mati membabitkan penduduk di wilayah Fars.
Katanya, hujan lebat juga merosakkan pertanian, infrastruktur serta perumahan di bandar dan luar bandar.
Sementara itu, Ketua Operasi Menyelamat dan Kecemasan Pertubuhan Bulan Sabit Merah, Mehdi Valipour, memberitahu bahawa pihaknya menyediakan kemudahan penginapan kecemasan kepada lebih 3,000 orang, manakala lebih 20,000 orang mendapat bantuan lain.

“Rumah ditenggelami banjir, manakala infrastruktur seperti jalan raya dan sistem komunikasi, banyak yang rosak,” kata Mehdi yang memberitahu bahawa lebih 500 pasukan menyediakan bantuan di selatan dan timur Iran.
Agensi meteorologi Iran pula menyatakan bahawa cuaca buruk sekarang dijangka berlanjutan hingga Jumaat ini yang bukan hanya menjejaskan selatan Iran, malah negara Arab berdekatan.
Hujan lebat turut melanda Emiriyah Arab Bersatu, termasuk Dubai dan Abu Dhabi, menyebabkan banjir berlaku di rantau ini.
Iran yang sebahagian besar kering kontang mengalami kemarau sejak beberapa dekad lalu, namun berdepan banjir dari semasa ke semasa. Pada tahun 2019, banjir yang melanda kawasan selatan menyebabkan 76 orang maut dan kerosakan dianggarkan kira-kira AS$2 bilion.
Saintis berpandangan perubahan iklim menyebabkan kekerapan dan keadaan kemarau menjadi semakin teruk, sekali gus mengancam keselamatan makanan negara yang terjejas. – TRTWorld




















