
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah kompleks beli belah di Solaris, Kuala Lumpur selepas tamatnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember yang lalu dan berjaya menahan seramai 13 orang warga asing.
Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia menyerbu lokasi ini pada jam 3:00 petang dengan kekuatan seramai 38 orang Pegawai Imigresen dan telah memeriksa 60 orang warga asing terdiri dari pelbagai warganegara yang berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun.
Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat. Premis tersebut kebanyakkan menggaji warga asing sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan juru jual. Hasil pemantauan, kesemua warga asing ini digajikan oleh majikan warga tempatan.
Semasa serbuan dilakukan, warga asing ini cuba bertindak pantas dengan menukar pakaian seragam yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa, tetapi tidak berjaya. Seramai 13 orang lelaki warganegara India telah ditangkap kerana kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa. Selain itu, seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Semasa pemeriksaan, terdapat juga pekerja warga asing yang digajikan ini telah mendaftar untuk Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Jabatan ini menggesa kepada warga asing supaya mengambil kesempatan sertai Program Rekalibrasi Pulang PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela. Walaupun program ini telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022, JIM tidak akan berdiam diri dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi menangkap PATI dan majikan yang masih degil.
DATO’ SRI KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Ketua Pengarah Imigresen
Malaysia – HARAKAHDAILY 5/1/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/162984712679829/posts/227937422851224
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.




















