Hilang rasa sedih bila dibantu Amal Prihatin

- Advertisement -

Oleh ANUAR IBRAHIM | Foto ABU ANAS

TEMERLOH:
Perasaan sedih apabila peralatan rumah musnah dilanda banjir hilang apabila dibantu aktivis Pertubuhan Amal Prihatin Melaka, kata mangsa banjir di Kampung Sungai Dingin, Zaleha Abd Rahman.

Menurutnya, bantuan yang diberikan itu sangat bermakna kerana penduduk kampung yang berdepan banjir tidak mampu melakukannya bersendirian.

“Terima kasih pada Pertubuhan Amal Prihatin daripada Melaka yang datang melawat kami, ziarah kami, bagi sokongan moral kepada kami.

“Hilang kesedihan kami bila orang datang melawat kami. Bila orang luar datang kita dapat kawan, dapat berkenalan. Mana sangka hari ni kita dapat jumpa orang Melaka,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui, kelmarin.

- Advertisement -

Tambahnya lagi kebanyakan rumah di kampung itu ditenggelami air sehingga ke paras bumbung dalam kejadian yang berlaku begitu pantas.

“Kabanyakan semua atapnya tenggelam. Kami pun tidak dapat selamatkan semua barang. Barang elektrik ke, apa semua tenggelam. Dengan buku-buku, Al Quran, kitab-kitab saya tenggelam.

“Sebabnya air itu datang terlalu cepat. Satu malam je. Sehingga dah penuh dah dalam rumah.  Menjelang malam penuh dah (air bah). Kami letak barang atas ‘staging’, tapi tenggelam juga,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar aktivis Amal yang membantunya akan meneruskan ikatan silaturrahim yang terjalin pada masa akan datang.

“Selepas semua dah elok jemput datang rumah akak kita makan ikan patin. Selepas ini kita eratkanlah silaturrahim,” ujarnya ceria di sebalik duka akibat bencana yang berlaku.

Sementara itu Pegawai Tadbir, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka, Muhamad Izzat Muhammad yang turut sama dalam misi itu tidak dapat menahan sebak melihat kesusahan yang ditanggung mangsa banjir.

“Saya sendiri pun sedih juga melihat saudara-saudara kita. Rasa sebaklah tengok mereka. Tak kisahlah sama ada Muslim, non-Muslim, India, Cina, mereka semua ni rakyat Malaysia,” ujarnya sebak.

Menurut beliau, misi itu yang diselaraskan oleh Khidmat Malaysia (KM) Melaka telah mengumpulkan sumbangan-sumbangan daripada para penderma untuk dibawa ke Temerloh.

“Kita daripada Pertubuhan Amal Prihatin Melaka nak ucapkan jutaan terima kasih pada semua penderma-penderma yang budiman yang telah menginfakkan dan menderma kepada kami.

“Hasil daripada kutipan itu kami bawa ke sini, kami belikan bantal, cadar, toto, air dan sebagainya apa yang boleh kita bagi,” ujarnya. beliau lagi. – HARAKAHDAILY 5/1/2022

- Advertisement -