Gempa magnitud 6.2 landa pantai Taiwan

Gegaran turut dirasai di Taipei susulan gempa bumi yang melanda di luar pantai timur Taiwan pada 4 Januari 2022.
- Advertisement -

TAIPEI: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud melanda di luar pantai timur Taiwan pada petang Selasa (4 Jan) dengan gegaran turut dialami di ibu negara Taipei.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi yang direkodkan pada 7:17 waktu tempatan (23:17 Isnin GMT) itu melanda pada kedalaman 28 kilometer (17 batu) dengan pusat gempa itu dikesan di lautan, terletak 64 kilometer di kawasan timur luar pantai Hualien.

- Advertisement -

Sementara menurut pasukan bomba Taiwan, laporan kesan awal terhad kepada segelintir orang yang terperangkap di dalam lif yang telah diselamatkan, namun tiada kemusnahan harta benda yang teruk dilaporkan.

Seorang wartawan AFP di Taipei berkata, bangunan bergoyang kuat apabila gegaran itu berlaku semasa waktu puncak berulang-alik pada 5:46 petang waktu tempatan (0946 GMT).

“Gegaran berlarutan selama 20 saat dengan tanah bergerak ke kiri dan ke kanan,” ujar  wartawan berkenaan.

Pusat gempa bumi berukuran 6.2 ini dikesan 64 kilometer di kawasan timur luar pantai Hualien.

Rangkaian sistem kereta api bawah tanah MRT Taipei dalam pada itu terus beroperasi selepas  gempa bumi itu reda.

Dalam pada itu, seorang warga Amerika Syarikat yang sudah menetap di Taiwan selama 13 tahun, Morgan Everett berkata, gempa bumi itu adalah salah satu gempa yang paling kuat dirasai sepanjang dia menetap di negara itu.

“Dua remaja lelaki berada di dalam lif di bangunan apartment yang dihuni ketika mereka pulang dari sekolah, dan suasana agak menakutkan. Nasib mereka dapat keluar dari situ dengan selamat,” katanya.

Taiwan kerap dilanda gempa bumi kerana pulau itu terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik.

Sesetengah gempa bumi dengan magnitud ini boleh membawa maut, walaupun ia banyak bergantung kepada lokasi dan kedalaman pusat gempa.

Gempa bumi magnitud 7.6 di Taiwan pada September 1999 telah meragut 2,400 nyawa penduduk.

Pada Oktober tahun lalu, gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda timur laut Yilan dengan kerosakan yang minimum.

Hualien yang merupakan kawasan tumpuan pelancong pernah dilanda gempa bumi berukuran 6.4 magnitud pada 2018 yang mengorbankan 17 orang dan mencederakan hampir 300 yang lain.

Pada September 1999, gempa bumi berukuran 7.6 magnitud meragut nyawa kira-kira 2,400 orang dalam bencana alam paling maut dalam sejarah pulau itu.

Ketua Pusat Seismologi Biro Cuaca Pusat Taiwan, Chen Kuo-chang berkata, negara itu mengalami purata 2.5 gempa bumi setahun dengan magnitud 6.0 atau lebih tinggi. Namun, pada tahun lepas Taiwan menyaksikan lima gempa bumi melebihi magnitud 6.0. – AFP

- Advertisement -