
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Aktiviti permotoran seperti Perlis Funrace Motorcross & Cubcross 2021 perlu mendapat sokongan semua pihak kerana memberi manfaat kepada golongan muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, berkata program yang berakhir semalam, menggalakkan belia memenuhi masa dengan kegiatan yang positif dan memberi manfaat kepada mereka.
Katanya, apa sahaja aktiviti yang positif dan bermatlamatkan membangunkan potensi anak muda wajar diberikan sokongan oleh semua pihak.
“Saya mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menarik penyertaan yang cukup ramai untuk berkampung di sini pada kali ini,” katanya.
Mohd Shukri yang menunggang sendiri motosikal berkuasa tinggi dari kediamannya di Sungai Padang ke Trek Sungai Batu Pahat di sini, sebagai sokongan terhadap program itu.
Beliau juga memuji peserta pertandingan yang disifatkan berjiwa kental dan berani kerana kemampuan mereka mengendalikan motosikal di trek yang mencabar.
Program Perlis Fun Race Motocross & Cubcross berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 Disember sebagai penutup tirai tahun 2021.
Program anjuran AJ Event & Management bersama AJ Fishing Sport, Motorex, Blue Dawn Racing Oil, ABATA Sport & Creations turut mendapat kerjasama Penggerak Prihatin Perlis.
Program ini juga disertai oleh Wan Tune ARC Team yang mewakili Alternatif Rider Club (ARC) Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 27/12/21




















