PAS gerakkan 3,937 sukarelawan bantu mangsa banjir Selangor

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

SHAH ALAM: PAS menggembleng tenaga seramai 3,937 sukarelawan untuk bertugas di kawasan yang terjejas teruk dilanda banjir di Selangor sejak hari pertama hingga semalam.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kehadiran mereka yang diselaraskan oleh Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengurangkan penderitaan mangsa banjir, terutama pada peringkat pasca banjir yang memerlukan banyak kerja pembersihan.

- Advertisement -

Katanya, semalam mencatatkan kehadiran sukarelawan paling ramai, iaitu seramai 1,420 orang dengan 610 orang memberi khidmat bakti di kawasan Kota Raja, terutama Taman Sri Muda, kawasan paling teruk terkesan akibat bencana ini.

“Keperluan sekarang ialah membersihkan pelbagai jenis barang yang tidak boleh digunakan lagi seperti perabot. Ini memerlukan tenaga yang ramai dan difahamkan bahawa selepas ini, kerajaan negeri akan mengambil alih kerja mengambil sampah di tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan RM50,000 dan barangan oleh Badan Perhubungan PAS Kedah kepada Badan Perhubungan PAS Selangor di Pejabat PAS Selangor di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya kepada Dr Ahmad Yunus. Turut hadir Menteri Besar Kedah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dr Ahmad Yunus berkata, ketika ini masih ada beberapa kawasan mengalami keadaan banjir termenung, iaitu di Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kerja pembersihan di kawasan terbabit tidak dapat dijalankan, tetapi kerja pembersihan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan tenaga sukarelawan datang dari negeri lain dan juga kawasan lain di Selangor yang tidak terbabit dengan banjir.

Selain itu, katanya keadaan cuaca yang semakin baik menyebabkan bilik gerakan banjir PAS di beberapa kawasan ditutup kerana tiada lagi keperluan seperti di Kuala Langat , terutama di Sijangkang dan Morib serta Kapar dan beberapa kawasan lain.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, selain bantuan kewangan untuk membantu PAS Selangor dalam kerja membantu mangsa banjir, pihaknya menghantar lebih 300 sukarelawan.

Katanya, mereka berada di Selangor sejak hari kedua bencana alam itu berlaku dengan sebahagian besar bertugas di Shah Alam dan Hulu Langat.

Katanya, antara hikmah bencana alam seperti yang berlaku di kawasan Gunung Jerai, Kedah, sebelum ini ialah masyarakat semakin mengenali Jabatan Amal Malaysia dan juga Khidmat Malaysia.

“Khidmat mereka tanpa mengenal penat dan lelah memberi imej yang baik kepada PAS, malah maklum balas masyarakat juga adalah positif,” katanya.

Selain itu, katanya bencana alam seperti banjir di Selangor juga mengeratkan ukhuwah di kalangan Badan Perhubungan PAS negeri.

“Apabila bencana kepala air berlaku di Gunung Jerai, Selangor memberi bantuan dan kini giliran Kedah pula memberi bantuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/21

- Advertisement -