
Oleh ASLANI M
KOTA BHARU: Misi Pumulihan Bantuan Banjir Kelantan ke Pahang dianjur kerajaan negeri dengan kerjasama NGO membabitkan seramai 1,500 sukarelawan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat berkata, misi terbabit turut membabitkan gemblengan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita serta Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan.
Selain itu turut disertai lebih 100 NGO tempatan serta kakitangan awam negeri. NGO yang terbabit termasuk Jabatan Amal Malaysia (Kelantan), Khidmat Malaysia Kelantan dan Sukarelawan Mesra.
Misi tersebut diketuai Pengerusi Khidmat Malaysia Kelantan Mohd Kamal Mohammad.

“Kawasan tumpuan misi terbabit iaitu di Bentong, Kuala Lipis, Jerantut dan Kuala Krau, di mana tempatnya akan ditentukan Bilik Operasi di Pahang,” katanya di sini.
Rombongan tersebut akan bertolak pagi esok. Pelepasan sukarelawan terbabit akan disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob di Dataran SUK Kota Darulnaim jam 8 pagi.
Pahang dilaporkan negeri paling teruk terjejas dengan banjir sekarang. Sehingga pagi ini seramai 68,341 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara di seluruh negara.
Daerah yang terjejas teruk di Pahang akibat bencana alam banjir iaitu Lipis, Jerantut, Raub, Maran, Kuantan, Temerloh, Pekan dan Bera.
Banjir yang berlaku di seluruh negara juga sehingga sekarang meragut 37 nyawa, manakala 10 lagi dilaporkan masih hilang.
Wan Roslan juga berkata, misi tersebut akan berada di Pahang selama tiga hari bagi membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas, mengagihkan bantuan makanan dan pelbagai lagi.
“Misi kedua pula akan ke Selangor bermula 29 hingga 31 Disember juga melibatkan 1,500 sukarelawan. Lokasi tumpuan di Selangor akan ditentukan bilik operasi banjir di negeri tersebut,” ujarnya.
Beliau juga berkata, sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM100,000 kepada Pahang dan Selangor akan disampaikan anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi kepada kedua-dua kerajaan terbabit.
Sementara itu hari ini 50 kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Krai bertolak ke Selangor bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri terbabit. – HARAKAHDAILY 23/12/2021




















