
LONDON: Britain melaporkan lebih 100,000 kes jangkitan baharu Covid-19 harian buat kali pertama kali sejak ujian meluas terhadap virus tersebut diperkenalkan di negara itu dengan 106,122 kes pada Rabu (22 Dis) dicatat berbanding 90,629, pada Selasa (21 Dis).
Penyebaran pantas varian Omicron telah mendorong lonjakan kes baharu Covid-19 dalam tempoh tujuh hari terakhir lalu, dengan jumlah kes keseluruhan meningkat sebanyak 643,219, atau 59 peratus, menurut data kerajaan Britain.
Sebelum ini, pada 13 Dis lalu, sebanyak 4,713 kes jangkitan Omicron telah disahkan dan jumlah sebenar jangkitan Omicron di negara itu diandaikan sudah mencecah sehingga 200,000 kes sehari.
Banyak industri perniagaan di negara itu kini sedang bergelut dengan kekurangan kakitangan apabila pekerja yang positif Covid-19 terpaksa menjalani kuarantin, dan pihak hospital telah memberi amaran tentang risiko kesan terhadap keselamatan pesakit, lapor Reuters.
Sehubungan itu, kerajaan Britain berkata bahawa ia mengurangkan tempoh kuarantin kontak rapat individu yang positif Covid-19 daripada 10 hari kepada tujuh hari.
Perdana Menteri, Boris Johnson pada hari Selasa (21 Dis) berkata, kerajaannya menolak sekatan baharu dalam usaha mengekang Covid-19 sebelum Krismas, dengan mengatakan bahawa terdapat ketidakpastian tentang impak Omicron dan kadar kemasukan ke hospital akibat varian baharu Covid-19 itu.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak tindakan lanjut akan dibuat selepas tamat cuti Krismas sekiranya keadaan pandemik Covid-19 semakin buruk.
Sehingga Selasa (21 Dis), 195 pesakit telah dimasukkan ke hospital susulan jangkitan Omicron, dengan 18 orang meninggal dunia.
Sementara jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 yang masih dirawat di hospital Britain adalkah sebanyak 8,008 orang, meningkat sedikit dalam tujuh hari lalu tetapi masih jauh di bawah paras lebih 38,000 orang yang dicatat pada Januari lepas.
Sebanyak 140 kematian dicatat dalam tempoh 28 hari lepas, turun daripada 172 kematian berbanding hari sebelumnya. – HARAKAHDAILY 23/12/2021




















