Teruja menjejaki wajah baru kampus KIAS

- Advertisement -

Oleh ASLANI M| Foto ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Menjejaki kampus Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri begitu mengujakan dengan perubahan wajah yang agak drastik.

Selepas mendapat sijil penubuhan Kolej Universiti, KIAS tidak lagi menoleh ke belakang, bagi memastikan impian kerajaan negeri untuk mengembalikan kegemilangan Serambi Mekah menjadi kenyataan.

Bukan lagi sekadar gelaran, sebaliknya di Kelantan berdiri megah institusi pendidikan agama yang terulung di rantau ini.

- Advertisement -

Mengembalikan era Yayasan Pendidikan Tinggi Islam (YPTIK) yang menjadi tumpuan pelajar dari seluruh Nusantara.

Hari ini berdiri megah sebuah asrama siswi setinggi lima tingkat yang bernilai RM21 juta. Asrama itu mampu menampung 1,500 pelajar. Senibina berbentuk Islamik, mewarisi ciri-ciri Masjid Kampung Laut, merupakan masjid tertua di negara ini.

Asrama baru itu melengkapkan kapasiti asrama sedia ada yang boleh menampung sehingga 2,300 pelajar termasuk bekas asrama yang pernah digunakan Akademik Islam Universiti Malaya.

Pendaftar KIAS Ahmad Nazir Abdullah berkata, asrama baru itu akan digunakan pelajar bagi kemasukan sesi 2022/2023 pada Jun depan.

Katanya juga KIAS merancang membina sebuah lagi asrama bagi menampung 500 lagi pelajar, menjadikan jumlah keseluruhan menyediakan 2,800 tempat untuk pelajar.

“Prasarana itu penting untuk kemudahan pelajar bagi memenuhi impian untuk menjadikan KIAS sebuah universiti penuh bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di kampus KIAS di Nilam Puri hari ini.

KIAS mendapat status kolej universiti pada 21 Mac lepas selepas menerima sijil berkaitan daripada Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Dr Noraini Ahmad. Sijil tersebut diterima anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan di Kementerian Pendidikan. – HARAKAHDAILY 22/12/2021

- Advertisement -